Johor kekal jarak setengah meter solat di masjid, surau

Walaupun berlaku kes penularan Covid-19 di Masjid Taman Sri Pulai Perdana, ia tidak mengubah ketetapan jarak setengah meter bagi solat Jumaat dan fardu di masjid serta surau di Johor. - Foto Bernama
Walaupun berlaku kes penularan Covid-19 di Masjid Taman Sri Pulai Perdana, ia tidak mengubah ketetapan jarak setengah meter bagi solat Jumaat dan fardu di masjid serta surau di Johor. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jarak setengah meter yang ditetapkan di negeri ini bagi solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di masjid dan surau tidak akan diubah walaupun berlaku penularan Covid-19 dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk di Taman Sri Pulai Perdana di sini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi bagaimanapun berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai kes positif Covid-19 berkenaan.

"Walaupun berlaku kes penularan Covid-19 di Masjid Taman Sri Pulai Perdana, ia tidak akan mengubah ketetapan jarak sedia ada iaitu setengah meter bagi solat Jumaat dan fardu lima waktu di masjid dan surau negeri ini.

"Masjid dan surau di kawasan berkenaan juga sudah diarah ditutup sementara bagi mengelakkan penularan Covid-19," katanya selepas Majlis Pelancaran Misi Bantuan Pasca Banjir 'Kami Bantu Banjir Johor' ke Segamat dan Muar di Pusat Islam Iskandar di sini pada Khamis.

Tosrin (dua dari kanan) melepaskan Konvoi Misi Bantuan Pasca Banjir di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru pada Khamis.
Tosrin (dua dari kanan) melepaskan Konvoi Misi Bantuan Pasca Banjir di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru pada Khamis.

Pada Selasa, sebanyak 47 kes positif Covid-19 dilaporkan dikesan dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk di Taman Sri Pulai Perdana dan 164 kontak sedang menunggu keputusan saringan yang dijalankan pada Ahad lalu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan dilaporkan berkata, ia sekali gus menyebabkan tercetusnya satu kluster baharu iaitu Kluster Pulai Perdana Tiga.

Menurut Vidyananthan, kluster itu dikesan hasil saringan bersasar yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru (PKDJB) pada 6 Januari lalu berikutan terdapat beberapa jemaah masjid yang positif selepas melakukan saringan kendiri.

Artikel Berkaitan:

Pada 5 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan supaya pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di negeri ini dijarakkan hanya setengah meter berbanding satu meter sebelum ini.

Perubahan itu berkuat kuasa bermula 7 Januari lalu hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.