Teruja, berdebar pikul tanggungjawab operasi ECRL

Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat tangan Muhammad Adam Hakimi Zulkifli (kanan) dan salah seorang lagi pelatih sebagai tanda syabas dan tahniah atas kejayaan menamatkan latihan teknikal ECRL di China pada Majlis Apresiasi Pelatih PLKI-ECRL.
Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat tangan Muhammad Adam Hakimi Zulkifli (kanan) dan salah seorang lagi pelatih sebagai tanda syabas dan tahniah atas kejayaan menamatkan latihan teknikal ECRL di China pada Majlis Apresiasi Pelatih PLKI-ECRL.
A
A
A

KUANTAN – Pengalaman menjalani latihan teknikal selama setahun di China menjadi bekalan kepada anak muda Pahang untuk menggalas tanggungjawab dalam industri rel menjelang pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Disember ini.

Muhammad Adam Hakimi Zulkifli dan Nur Auni Hanani, masing-masing berusia 22 tahun, antara 47 pelatih Akademi Rel Pahang (ARP) yang bersedia memulakan tugas selepas menamatkan latihan di bawah Program Latihan Kemahiran Industri East Coast Rail Link (PLKI-ECRL) Sesi 2025/2026.

Kedua-duanya mengikuti bidang berbeza apabila Muhammad Adam yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelatih Terbaik telah menjalani latihan dalam bidang operasi stesen manakala Nur Auni dalam bidang penyelenggaraan lokomotif.

Mereka merupakan sebahagian daripada 259 pelatih dari seluruh negara yang menamatkan latihan dalam pelbagai bidang berkaitan industri rel di China menerusi tiga kumpulan latihan bermula Mei tahun lalu hingga Julai tahun ini.

Daripada jumlah itu, seramai 96 pelatih berasal dari Pahang dan mengikuti latihan menerusi ARP serta Pahang Skills. Mereka dijadualkan ditempatkan di 20 stesen utabolema sepanjang jajaran ECRL sejauh 665 kilometer dari Gombak, Selangor hingga Kota Bharu, Kelantan.

Pelatih ARP, Muhammad Adam mengakui gementar memikirkan tanggungjawab bakal dipikul apabila kini bertugas sebagai pegawai bertugas stesen (station duty officer) di Stesen Kemaman.

Menurutnya, tugas itu memerlukan pemantauan terhadap aktiviti di stesen, termasuk pergerakan tren ujian serta urusan penyelenggaraan dan kerosakan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakam gambar kenanvan bersama para pelatih Program Latihan Kemahiran Industri East Coast Rail Link (PLKI-ECRL) pada Majlis Apresiasi Pelatih di Kompleks Yayasan Pahang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakam gambar kenanvan bersama para pelatih Program Latihan Kemahiran Industri East Coast Rail Link (PLKI-ECRL) pada Majlis Apresiasi Pelatih di Kompleks Yayasan Pahang.

Artikel Berkaitan:

“Apabila dimaklumkan perlu menjaga keseluruhan stesen, memang agak risau dan gementar kerana kami belum benar-benar nampak bagaimana tugas itu dilaksanakan.

“Apa-apa yang berlaku di stesen itu nanti adalah di bawah tanggungjawab kami,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi sempena Tamat Kursus Pelatih ARL Program PLKI-ECRL sesi 2025/26 di Kompleks Yayasan Pahang baru-baru ini.

Mengenang kembali detik awal penyertaannya, Muhammad Adam memberitahu pada awalnya dia tidak berhasrat memohon program latihan itu selepas menamatkan pengajian di Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP), namun berubah fikiran selepas dipelawa seorang rakan.

Bagaimanapun katanya, rakannya tidak berjaya melepasi pemeriksaan kesihatan, namun galakan yang diberikan mendorongnya meneruskan permohonan.

"Waktu itu saya memang rasa berputus asa dan tidak mahu meneruskan latihan, tapi selepas rakan meminta pergi demi dirinya membuatkan saya terus melangkah.

"Alhamdulillah dengan dorongan itu, saya belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menerima Anugerah Pelatih Terbaik,” luahnya.

Berkongsi lanjut, anak kelahiran Sungai Koyan, Lipis ini berkata, penguasaan bahasa Mandarin menjadi antara cabaran ketika memulakan latihan di China meskipun mereka mengikuti kursus asas selama dua minggu sebelum berangkat.

“Apabila mula sampai di China, kami memang tidak tahu apa-apa.

"Namun dengan bantuan rakan-rakan dan tenaga pengajar di sana, Alhamdulillah kami dapat menyesuaikan diri dan menamatkan latihan dengan baik,” katanya.

Muhammad Adam berkata, latihan di China memberinya pendedahan praktikal berkaitan operasi pergerakan kereta api, penyelenggaraan serta pengendalian barangan.

“Banyak pengalaman yang kami peroleh dalam bidang operasi, termasuk memahami pergerakan tren dan sedikit sebanyak mengenai penyelenggaraan kereta api,” katanya

Sementara itu, bagi satu-satunya pelatih wanita dalam bidang Penyelenggaraan Lokomotif bagi program PLKI-ECRL di China, Nur Auni Hanani Nurhan, 22, berkata, mperlu menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang didominasi lelaki.

Meskipun mempunyai latar belakang kejuruteraan mekanikal, dia masih bimbang tentang keupayaannya menghadapi tuntutan fizikal dalam bidang berkenaan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sijil serta mock up cek Anugerah Pelatih Terbaik kepada Muhammad Adam Hakimi Zulkifli pada Majlis Apresiasi Pelatih Program Latihan Kemahiran Industri East Coast Rail Link (PLKI-ECRL) di Yayasan Pahang
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sijil serta mock up cek Anugerah Pelatih Terbaik kepada Muhammad Adam Hakimi Zulkifli pada Majlis Apresiasi Pelatih Program Latihan Kemahiran Industri East Coast Rail Link (PLKI-ECRL) di Yayasan Pahang

“Saya seorang sahaja perempuan dalam bahagian lokomotif, manakala yang lain semuanya lelaki dan memang ada rasa takut sama ada mampu atau tidak melakukan kerja beratm

"Apa- apa saya akan cuba dahulu dan berikan yang terbaik," katanya.

Nur Auni turut memberitahu latihan di China memberinya pendedahan kepada teknologi dan sistem kereta api, termasuk penggunaan simulasi serta aspek teknikal penyelenggaraan enjin dan komponen elektrik.

Rasa teruja dan bangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada industri ini. Kita memainkan peranan penting dalam memastikan kereta api dapat beroperasi,” ujarnya lagi.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!