Lebih RM800,000 sumbangan khas Deepavali untuk pelajar, rumah ibadat di Teluk Intan

Kor Ming (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kasih Madani pada Sabtu.
Kor Ming (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kasih Madani pada Sabtu.
A
A
A

TELUK INTAN - Sebanyak RM816,112 disalurkan Pejabat DAP Parlimen Teluk Intan kepada pelajar, rumah ibadat dan persatuan Hindu sempena sambutan Deepavali pada tahun ini.

Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah itu, RM449,600 diperuntukkan kepada 450 pelajar dari 11 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di kawasan berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, selain bantuan pendidikan, sebanyak RM153,492 disalurkan menerusi bantuan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) kepada Kuil Sri Vellai Vinayagar Teluk Intan manakala Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman Teluk Intan menerima sumbangan sebanyak RM213,020.

Menurut beliau, bantuan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Madani memastikan kebajikan masyarakat India, khususnya golongan berpendapatan rendah terus diberikan perhatian.

Sebanyak RM449,600 diperuntukkan kepada 450 pelajar dari 11 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di kawasan Teluk Intan.
Sebanyak RM449,600 diperuntukkan kepada 450 pelajar dari 11 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di kawasan Teluk Intan.

"Saya berharap sumbangan kasih ini dapat menyuntik semangat anak-anak kita, khususnya daripada keluarga B40, untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

"Pada masa sama, bantuan ini diharap dapat meringankan beban keluarga dalam membuat persiapan menyambut Deepavali," katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Dewan Kuil Sri Vellai Vinayagar di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Woo Kah Leong.

Sebelas sekolah yang menerima sumbangan itu ialah SJKT Ladang Batak Rabit, SJKT Selaba, SJKT Dato' Sithambaram Pillay, SJKT Nova Scotia 1, SJKT Nova Scotia 2, SJKT Ladang Sungai Semak, SJKT Ladang Sussex, SJKT Ladang Ulu Bernama 2, SJKT Natesa Pillay, SJKT Sithambaram Pillay dan SJKT Thiruvalluvar.

Kor Ming berkata, menerusi sumbangan yang dilaksanakan sejak 2023 itu, setiap pelajar menerima RM1,000 seorang.

Katanya, bantuan khas antara RM1,200 hingga RM2,000 turut diberikan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Perayaan Deepavali tahun ini membawa mesej yang cukup bermakna tentang cahaya, harapan dan keharmonian.

"Semangat inilah yang ingin kita terjemahkan dalam pentadbiran, memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang yang adil untuk maju dan menikmati hasil pembangunan negara tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!