Berhabis wang simpanan bebaskan anak, bapa rugi RM20,000

Niat baik seorang bapa membebaskan anaknya daripada tahanan polis berakhir dengan kerugian apabila kes tangkapan anaknya itu hanya umpan sindiket penipuan. - Foto hiasan 123RF
Niat baik seorang bapa membebaskan anaknya daripada tahanan polis berakhir dengan kerugian apabila kes tangkapan anaknya itu hanya umpan sindiket penipuan. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang bapa sanggup menghabiskan wang simpanan RM20,000 demi membebaskan anaknya yang ditahan 'polis' kerana memiliki dadah.

Malangnya, niat baik bapa berusia 60 tahun itu berakhir dengan kerugian apabila kes tangkapan anaknya itu hanya umpan sindiket penipuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa dihubungi individu tidak dikenali menyamar sebagai polis pada Rabu memaklumkan anak lelakinya ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Kuala Lumpur ekoran penemuan dadah dalam kaki seluar.

Menurutnya, mangsa diarahkan membayar RM50,000 bagi menyelesaikan kes itu sebelum anaknya boleh dibebaskan.

"Mangsa diberi peluang bercakap dengan anaknya itu namun dia sendiri tidak pasti suara yang bercakap sambil menangis itu anaknya atau orang lain.

"Mangsa berjaya diperdayakan apabila dia sedia untuk membuat bayaran bagi melepaskan anaknya itu namun dia tidak mampu menyediakan wang dalam jumlah yang diminta.

"Mangsa memaklumkan hanya ada RM20,000 dan semua wang itu telah dipindahkan ke akaun bank yang diberikan bagi tujuan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Wazir berkata, selepas bayaran dibuat, mangsa menghubungi suspek untuk mendapatkan perkembangan anaknya namun gagal kerana panggilan telah disekat.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa mula curiga dan syak telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bentong pada Rabu.

"Dalam kes ini, kita percaya, suspek menyamar sebagai anggota polis untuk memperdaya mangsa hingga kerugian RM20,000.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambah beliau, siasatan sedang dijalankan termasuk mengesan pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan.