Usah tangguh pemvaksinan Covid-19 kanak-kanak: Pakar Perubatan

Pakar perubatan berpendapat, keputusan kerajaan untuk memulakan pelalian sama terhadap kanak-kanak bawah 12 tahun serta memberikan dos penggalak kepada remaja adalah langkah terbaik bagi mengurangkan risiko jangkitan.Gambar hiasan. - Foto 123rf
Pakar perubatan berpendapat, keputusan kerajaan untuk memulakan pelalian sama terhadap kanak-kanak bawah 12 tahun serta memberikan dos penggalak kepada remaja adalah langkah terbaik bagi mengurangkan risiko jangkitan.Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemvaksinan Covid-19 ke atas remaja di negara ini boleh dikatakan berjaya, namun hal itu dilihat masih belum dapat meredakan kebimbangan sesetengah ibu bapa yang mempersoalkan keputusan kerajaan untuk memulakan pelalian sama terhadap kanak-kanak bawah 12 tahun serta memberikan dos penggalak kepada remaja.

Rata-rata menjadikan laman sosial sebagai medan meluahkan kekhuatiran tentang keselamatan anak masing-masing, khususnya yang berusia lima hingga 11 tahun, yang menurut mereka masih terlalu muda untuk menerima vaksin tersebut.

Menurut laporan media, pemvaksinan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun akan menggunakan vaksin ‘Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection’, iaitu sediaan yang lebih rendah kekuatannya berbanding vaksin bagi individu 12 tahun ke atas, sementara dos penggalak untuk remaja pula adalah formula baharu ‘Comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Inject’.

Kedua-duanya adalah keluaran syarikat farmaseutikal Pfizer dan telah menerima kelulusan pendaftaran bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Dijangkakan 5.9 juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun akan menerima vaksin itu pada tahun ini dengan kira-kira 11.8 juta dos disediakan dalam usaha kerajaan memerangi jangkitan virus maut tersebut.

Jangan bertangguh

Di sebalik tentangan ibu bapa, pakar perubatan berpendapat, keputusan kerajaan itu adalah langkah terbaik bagi mengurangkan risiko jangkitan dalam kelompok tersebut, apatah lagi ketika kerajaan sedang mempersiapkan masyarakat untuk hidup bersama-sama endemik.

Timbalan Pengarah Klinikal dan Pakar Perunding Perubatan Respiratori Hospital Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Dr Ahmad Izuanuddin Ismail berkata, kebimbangan tentang aspek keselamatan si anak tidak sepatutnya timbul kerana banyak negara telah melaksanakan program vaksinasi ke atas kanak-kanak mereka.

Artikel Berkaitan:

“Antaranya ialah Amerika Syarikat (AS), Eropah dan jiran kita Singapura yang setakat ini menunjukkan kejayaan,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan laporan media, AS mula memberikan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun pada 4 November lepas dengan Presidennya, Joe Biden menyifatkan permulaan pemberian vaksin itu sebagai “hari yang baik” dalam usaha memerangi pandemik.

Di Eropah pula, Jerman, Sepanyol, Greece dan Hungary antara yang telah memulakan pemvaksinan kanak-kanak mereka, dan dilaporkan terdapat permintaan yang tinggi daripada ibu bapa agar anak mereka diberikan vaksin Covid-19.

Langkah negara terbabit bukan sahaja untuk mengekang penularan virus maut itu tetapi juga bagi membolehkan anak-anak mereka meneruskan sesi persekolahan secara bersemuka.

Negara tetangga, Singapura pula memulakan pelalian kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun pada 27 Disember lepas, juga menggunakan vaksin keluaran Pfizer yang telah diluluskan untuk penggunaan peringkat umur berkenaan.

"Ini bermakna kita sudah ada data tentang keselamatan vaksin itu terhadap kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

“Justeru, kenapa perlu bertangguh lagi sedangkan kita tahu dunia diserang dengan varian baharu seperti Omicron. Malah, kita juga diberitahu tentang varian IHU yang dikesan di Perancis, jadi kita tidak boleh melengahkan lagi pemberian vaksin ini untuk melindungi anak-anak kita,” katanya.

Dr Ahmad Izuanuddin berkata, walaupun kesan Covid-19 terhadap kanak-kanak tidak seteruk mereka yang berusia dan golongan berisiko, ada kekhuatiran jangkitan virus itu akan memberi kesan berpanjangan kepada paru-paru kanak-kanak termasuk gejala ‘long Covid’.

“(vaksinasi) Ini adalah usaha supaya virus Covid-19 tidak menyerang secara terus kepada paru-paru khususnya bagi kanak-kanak yang mempunyai asma.

"Satu kajian yang dijalankan di Scotland baru-baru ini menunjukkan kanak-kanak penghidap asma yang teruk sehingga memerlukan ubat steroid untuk mengawal asma mereka, atau yang mengalami asma dengan kerap, adalah lebih terdedah kepada jangkitan Covid-19 selain berisiko mengalami komplikasi paru-paru sekiranya dijangkiti. Jadi, kumpulan ini digalakkan menerima vaksin,” jelas beliau.

Vaksin baharu

Pensyarah Kanan di Unit Imunologi, Jabatan Patologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Dr Masriana Hassan pula berkata, pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun adalah mengikut dos yang ditetapkan oleh pihak berkaitan termasuk panel penasihat Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) serta pengeluar vaksin tersebut.

Katanya, adalah normal jika kanak-kanak mengalami simptom tertentu termasuk demam selepas menerima suntikan kerana vaksin bertindak balas terhadap tubuh si penerima.

“Kanak-kanak telah diberi imunisasi atau vaksin sejak mereka lahir, contohnya BCG (bagi mencegah penyakit tuberculosis atau TB) dan hepatitis B (mencegah infeksi virus hepatitis B).

“Secara amnya badan kita akan bertindak balas apabila ada benda asing (antigen asing) masuk ke dalam tubuh,” katanya yang tidak menolak kemungkinan kebimbangan itu timbul kerana vaksin yang digunakan adalah ciptaan baharu.

Bagaimanapun kata beliau, data-data terkini dan kajian negara luar mendapati hingga kini belum ada laporan tentang komplikasi yang teruk selepas kanak-kanak dalam peringkat usia itu mengambil vaksin Covid-19.

“Buat masa ini, bagi mendapatkan data yang terbaik dan menyeluruh mungkin sukar sebab isu ini perkara baharu, (namun) bagi saya data yang sedia ada boleh dijadikan sebagai rujukan,’’ katanya.

Taska kekal patuh SOP

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkaitan bagi membuat ketetapan berhubung pemvaksinan kanak-kanak berusia bawah enam tahun.

Menurut beliau, buat masa ini kesemua pengusaha pusat asuhan diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi membendung penularan Covid-19 di premis mereka.

“Kami masih melaksanakan SOP yang ketat, sama ada kanak-kanak perlu divaksinasi atau tidak, kami serahkan kepada pakar serta kebijaksanaan ibu bapa untuk memutuskannya,” kata Anisa kepada Bernama.

Pandangan sama turut disuarakan pengusaha Taska Boo Boo Cak Manjaku, Siti Rohaniza Mat Isa, 48, yang menyifatkan pematuhan SOP masih merupakan langkah terbaik bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di taska.

“Bagi saya sebagai pengusaha taska, yang penting adalah SOP yang perlu diikuti dengan betul, bukan sahaja oleh pendidik, malah ibu bapa juga bagi menjamin kesejahteraan kanak-kanak.

“Jika mahu pastikan anak-anak selamat dan terlindung daripada jangkitan Covid-19, ibu bapa boleh dapatkan mereka vaksin,” katanya. - Bernama