Keperluan vaksinasi kanak-kanak

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil pendekatan untuk bersabar dalam memuktamadkan keputusan memberikan vaksin Covid-19 kepada golongan kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini menyatakan bahawa kerajaan dan KKM berpendirian sedemikian berikutan senario tiada sebarang kelulusan untuk vaksinasi pediatrik di Malaysia mahupun di mana-mana tempat ketika ini.

Langkah vaksinasi itu dipercayai masih dalam peringkat kajian di bawah agensi sama ada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) mahupun Pihak Berkuasa Kawalan Kesihatan Kebangsaan (NHRA).

Sejurus pihak KKM memperoleh data kukuh dan mencukupi untuk menyokong keberkesanan bahawa suntikan vaksin Covid-19 adalah selamat kepada golongan kanak-kanak, ia akan dibawa ke jawatankuasa vaksin bagi membuat pertimbangan agar keputusan dibuat dalam kadar segera.

Keperluan vaksinasi kepada golongan kanak-kanak amat penting disebabkan penularan jangkitan virus Covid-19 dalam kalangan anak-anak kecil itu semakin serius sejak kebelakangan ini.

Akhbar harian Tamil, Makkal Osai berkata, wabak jangkitan Covid-19 yang memburu golongan kanak-kanak agak mengganas malah angka kematian kumpulan itu turut menunjukkan trend meningkat.

Menurut data terbaharu dikeluarkan KKM cukup menggemparkan orang ramai apabila seramai 47 kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun ke bawah di negara ini meninggal dunia akibat Covid-19 sejak tahun lalu.

Data itu juga memaparkan sebanyak 41 kematian telah direkodkan sejak awal tahun ini manakala enam lagi kanak-kanak meninggal dunia pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Jelas data berkenaan, kira-kira 310,074 kanak-kanak telah disahkan positif jangkitan Covid-19 pada tahun ini berbanding seramai 12,620 kanak-kanak pada tahun lepas.Jangkitan

Sementara itu, sejumlah 81,168 bayi dan kanak-kanak bawah umur empat tahun telah dijangkiti virus pandemik itu pada tahun ini berbanding 3,180 pada tahun 2020.

Dalam kategori kanak-kanak berumur empat tahun itu direkodkan sebanyak 15 kematian berbanding tiga kematian pada tahun 2020.

Dalam pada itu, golongan kanak-kanak berusia lima tahun dan enam tahun pula, seramai 32,996 orang telah dijangkiti virus berbahaya itu berbanding 1,227 sahaja pada tahun 2020.

Makkal Osai menjelaskan bahawa pada tahun ini seorang kanak-kanak telah meninggal dunia dalam kategori usia itu.

Jumlah kes disahkan positif pada tahun ini dalam kalangan kanak-kanak lingkungan umur tujuh hingga 12 tahun cukup tinggi iaitu seramai 106,823 berbanding 4,071 kanak-kanak pada tahun 2020.

Akhbar harian itu mengulas lanjut lagi, trend jangkitan virus Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak pada tahun ini amat drastik dibandingkan dengan jumlah pada tahun 2020 mengikut data terkini KKM tersebut.

KKM mengimplementasikan kaedah mempercepatkan program vaksinasi kepada orang dewasa di sekolah-sekolah bagi memastikan kesihatan dan nyawa kanak-kanak terselamat.

Pihak kerajaan dan KKM harus berhadapan dengan hakikat bahawa keselamatan golongan kanak-kanak masih belum lagi terjamin selagi mereka sendiri mendapat suntikan vaksin sesuai yang tidak memudaratkan kesihatan dan tumbesaran badan kumpulan itu.

Malaysia pada Oktober depan sudah bersedia untuk memasuki fasa endemik dengan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) yang terbaharu bagi memudahkan kelangsungan hidup rakyat jelata dan kes harian jangkitan virus Covid-19 positif dapat dikurangkan bagi memelihara golongan belum dan tidak di vaksinasi terutama kanak-kanak.

Nasib golongan kanak-kanak sebagai kelompok tidak di vaksinasi kini terletak di bawah tanggungjawab pihak kerajaan, KKM dan orang dewasa agar menjadi benteng kalis virus Covid-19.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor