Demi Harimau Malaya

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dikritik hebat gara-gara kegagalan skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan lalu.

Malah, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) turut menerima tempias ekoran jadual Liga Malaysia (Liga-M) yang dikatakan menjadi antara penyumbang kegagalan memalukan itu.

Seolah-olah tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’, MFL kini berusaha menjadikan agenda kebangsaan sebagai keutamaan dalam merencana kalendar Liga-M 2022.

Selaku badan pentadbir Liga-M yang bertanggungjawab menyusun atur jadual perlawanan Liga-M sejak beberapa musim lalu, MFL merangka strategi baharu bagi mengelak ‘malapetaka’ sama berulang.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, perancangan kalendar Liga-M 2022 mengikut keperluan skuad kebangsaan bagi mengharungi tugasan di pentas antarabangsa.

“Kita akan melihat keperluan untuk panggilan (call up) skuad kebangsaan dan latihan. Kita juga kena tengok kekangan-kekangan yang ada berikutan penularan Covid-19 di negara ini.

“MFL akan berusaha memastikan agenda kebangsaan dan juga agenda FAM dijadikan sebagai satu keutamaan dalam merangka kalendar (perlawanan) Liga-M 2022.

“Kita juga menetapkan ruang (tempoh) kuarantin setelah pemain kembali daripada kem latihan pusat skuad kebangsaan termasuk melibatkan perjalanan pasukan ke luar negara,” katanya selepas Majlis Taklimat Kalendar Liga-M 2022 secara maya pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Stuart memberitahu, MFL turut mengatur langkah awal dalam penjadualan Liga-M melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) serta KL City FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA) FC yang bertanding pada Piala AFC.

“Percaturan itu dibuat berikutan beberapa kekangan yang bakal dihadapi ketiga-tiga kelab berkenaan ketika beraksi pada kejohanan yang berlangsung secara centralised (berpusat) itu.

“Saya faham kesukaran yang dihadapi dengan pandemik yang sedang melanda dan isu yang berbeza di setiap negara. Perkara ini turut melibatkan melibatkan pertukaran kalendar untuk saingan ACL dan AFC termasuk venue kejohanan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Stuart berkata, MFL mengemukakan cadangan baharu prosedur operasi standard (SOP) kemasukan penyokong ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga-M 2022.

“Buat masa ini, kami telah mengadakan perbincangan peringkat awal dengan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Ini (kemasukan penyokong) akan dijadikan satu permintaan MFL kepada MKN, KKM dan KBS untuk memberi pertimbangan kepada permintaan dan juga rayuan daripada pasukan-pasukan sendiri.

“Di sini kita perlukan kerjasama daripada penyokong dan pasukan agar kelonggaran diberikan kepada penyokong dilaksanakan dengan sempurna. Musim lepas, kita ada beberapa isu tempatan, (tetapi) saya tak boleh salahkan mana-mana pihak.

“Saya yakin penyokong dan kelab sudah ada pengalaman. Saya juga pasti kedua-dua pihak (penyokong dan kelab) akan pastikan SOP tahun 2022 dijaga,” jelasnya.