Cabaran Harimau Muda di Kejuaraan B-23 AFF tersekat

Alif Ikmalrizal (kanan) diasak pemain Vietnam ketika aksi separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Stadium Rayong Provincial, Thailand pada Khamis. - Foto Football Association of Malaysia
Alif Ikmalrizal (kanan) diasak pemain Vietnam ketika aksi separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Stadium Rayong Provincial, Thailand pada Khamis. - Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

CABARAN skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara dalam Kejuaraan B-23 AFF 2023 tersekat di pentas separuh akhir apabila tewas 1-4 kepada penyandang juara Vietnam pada Khamis.

Separuh masa pertama menyaksikan skuad Harimau Malaya kendalian E Elavarasan ditenggelami corak permainan pantas anak buah Hoang Anh Tuan di Stadium Rayong Provincial, Thailand.

Corak permainan berkualiti tinggi dipamerkan menyaksikan Vietnam terlebih dulu memimpin perlawanan hasil jaringan Dinh Xuan Tien pada minit kelapan.

Jaringan itu melonjakkan semangat anak buah Anh Tuan apabila menerusi Nguyen Quoc Viet pada minit ke-32 sebelum Xuan Tien memastikan kedudukan 3-0, seminit sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan untuk separuh masa pertama.

Alif Ikmalrizal (kanan) meledak jaringan untuk skuad Harimau Muda ketika berdepan Vietnam dalam aksi separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Stadium Rayong Provincial, Thailand pada Khamis. - Foto Football Association of Malaysia

Separuh masa kedua skuad Harimau Muda tampil lebih tersusun kembali menyaingi Vietnam menyaksikan tandukan Alif Ikmalrizal Anuar minit ke-49 mengurangkan defisit gol.

Percaturan taktikal Elavarasan berjaya mengendurkan penguasaan Vietnam, namun kualiti permainan milik anak buah Anh Tuan apabila meledak jaringan keempat dijelmakan Nguyen Hong Phuc pada minit ke-85.

Harimau Muda sebelum itu menempah slot separuh akhir selepas mengungguli Kumpulan B hasil dua kemenangan ke atas Indonesia dan Timor Leste sementara Vietnam mengungguli Kumpulan C selepas meraih kemenangan ke atas Laos dan Filipina.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah layak ke final Kejuaraan B-23 AFF dengan pencapaian terbaik adalah menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi 2005 di Thailand.