Omicron: 13 kes kekal, tiada kes baharu di Perak pada Januari

Mohd Akmal (kanan) mendengar penerangan berhubung penggunaan alat bantuan pernafasan daripada pakar HRPB, Dr Foong Kit Weng.
Mohd Akmal (kanan) mendengar penerangan berhubung penggunaan alat bantuan pernafasan daripada pakar HRPB, Dr Foong Kit Weng.
A
A
A

IPOH - Perak merekodkan 13 kes positif varian Omicron dengan kes pertama dilaporkan pada 2 Disember tahun lalu.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, semua kes yang direkodkan itu adalah melibatkan jangkitan luar, luar negara.

Menurutnya, perkembangan terkini menunjukkan, tiada kes baharu direkodkan melibatkan varian itu sepanjang Januari ini.

"Daripada 3 Januari sehinggalah semalam (Selasa), tiada kes baharu Omicron dilaporkan di Perak.

"Rekod kekal 13 kes dan itupun bukan melibatkan kes tempatan. Ini menunjukkan penularan jangkitan virus ini adalah terkawal di Perak," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan alat bantuan pernafasan (ventilator) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Rabu.

Beliau berkata, secara keseluruhan setakat Selasa, tiada kematian direkodkan akibat Covid-19 di negeri ini dan daripada 6,607 yang menjalani ujian saringan, hanya 1.7 peratus disahkan positif.

"Semua pihak termasuk orang awam perlu memainkan peranan dan bertanggungjawab dalam memastikan penularan wabak di negeri ini terus terkawal," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kes pertama positif Omicron di Perak membabitkan seorang pelajar berusia 19 tahun yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.

Artikel Berkaitan:

Perak merekodkan kes kedua apabila seorang individu tempatan dikesan positif varian itu selepas pulang daripada mengerjakan umrah.

Dalam perkembangan lain, Mohd Akmal memberitahu, setakat Selasa, seramai 527,964 penduduk di negeri ini telah menerima suntikan dos penggalak menjadikan 74 peratus populasi rakyat Perak telah lengkap divaksinasi.

Katanya, perkembangan itu tanda positif bahawa rakyat negeri ini menyambut baik saranan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung pengambilan dos penggalak.

"Untuk peringkat awal ini, mungkin nampak agak perlahan, tetapi dari segi sambutan itu sudah ada dan semakin baik.

"Kita harap (peratusan) semakin naik terutama pada Januari ini," katanya.

Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak bandar raya Nanning, China atas bantuan dua unit alat bantuan penafasan (ventilator) bagi kegunaan perkhidmatan kesihatan di HRPB.

Jelasnya, peralatan perubatan dianggarkan bernilai RM136,000 itu diterima pada 17 Disember lalu dan telah digunakan di hospital berkenaan khususnya dalam kes-kes Covid-19.

"Mengikut rekod, terdapat 12 kes aktif pesakit Covid-19 di negeri ini yang memerlukan alat bantuan pernafasan dengan kadar penggunaan 40.6 peratus.

"Rekod juga menunjukkan 18 kes aktif di unit rawatan rapi (ICU) dan 36 kes pesakit Covid-19 menerima rawatan di wad.

"Sehubungan itu, sumbangan alat bantuan bagi kegunaan perkhidmatan kesihatan ini adalah tepat pada masanya dan secara langsung dapat dimanfaatkan untuk membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa," katanya.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah bertindak sebagai perantara antara Perak dengan negara China melalui hubungan Bandar Raya Persahabatan dengan Bandar Raya Nanning yang terjalin sejak 1 April 2005.

Sepanjang 17 tahun hubungan bandar raya persahabatan ini, pelbagai kerjasama telah dijalinkan khususnya dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi, perdagangan, kebudayaan, pendidikan dan sukan.