Syabu RM1.99 juta dalam kotak ikan hiasan dirampas

Jauteh menunjukkan syabu yang berjaya dirampas polis dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kota Kinabalu.
Jauteh menunjukkan syabu yang berjaya dirampas polis dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan seorang pengedar dadah menggunakan kotak ikan hiasan untuk menyimpan barang terlarang itu gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila ditahan bersama syabu bernilai RM1.994 juta pada 4 Januari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, suspek berusia 50 tahun ditahan dalam satu serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di pekarangan sebuah syarikat penghantaran barang di Inanam di sini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, ketika ditahan, suspek yang memandu kenderaan jenis Perodua Bezza membawa tiga kotak berisi 33.62 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM1.21 juta.

"Susulan itu, polis menyerbu sebuah lagi premis di bangunan komersial Aeropod, Sabtu lalu dan menemui dua kotak berisi syabu seberat 21.78 (kg) dianggarkan bernilai RM784,080.

"Ia menjadikan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah seberat 55.4kg dan bernilai RM1.994 juta berdasarkan harga pasaran semasa," katanya ketika sidang akhbar di IPK Sabah pada Rabu.

Tambah Jauteh, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM102,097 daripada suspek.

"Ujian saringan air kencing didapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine selain mempunyai 17 rekod jenayah lampau membabitkan jenayah curi dan dadah.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori," katanya.

Artikel Berkaitan: