Jangan sampai sijil booster ‘dibeli’

Anggota polis menunjukkan sijil suntikan vaksinasi Covid-19 palsu yang dikeluarkan oleh sebuah klinik swasta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada Isnin. - Foto Bernama
Anggota polis menunjukkan sijil suntikan vaksinasi Covid-19 palsu yang dikeluarkan oleh sebuah klinik swasta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SETAHUN lalu kerajaan pernah mendapat pujian dalam pengurusan pandemik dan ketika memberikan vaksin pertama serta kedua, namun sejak pemberian dos penggalak mula dikuatkuasakan, pelbagai kecaman dan rungutan rakyat mula kedengaran.

Baru-baru ini, situasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Emporis Primer Cherang Clinic Kota Damansara 24 jam dilaporkan sesak dengan kehadiran orang ramai yang dipercayai mahu mendapatkan suntikan dos penggalak.

Situasi tersebut dirakam dalam satu video tular berdurasi dua minit 16 saat. Seorang individu dipercayai salah seorang penerima vaksin berkongsi video tersebut.

Dalam video itu juga menunjukkan keadaan di PPV berkenaan dengan orang ramai terpaksa berdiri lama sebelum sampai giliran untuk masuk ke dalam PPV bagi menerima suntikan.

Persoalannya, mengapa disiplin dan pengurusan pemberian dos pertama serta kedua yang berjaya sebelum ini tidak diaplikasikan kali ini?

Bukan semua yang hadir itu mempunyai daya upaya untuk berdiri dan beratur begitu panjang hanya semata-mata untuk mendapatkan dos penggalak.

Sementara itu, keputusan kerajaan membuka empat PPV integrasi dengan kapasiti lebih besar bermula 15 Januari ini adalah langkah baik, namun sepatutnya ia dilakukan lebih awal.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah itu diambil bagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksin dos penggalak terutama di Lembah Klang.

Artikel Berkaitan:

Empat PPV itu ialah PPV World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur; Axiata Arena, Bukit Jalil; IDCC, Shah Alam dan Dewan Soka Gakkai, Klang.

Tindakan kerajaan perlu efisien dan lebih tersusun. Bukan semua rakyat menolak vaksin, bukan semua rakyat enggan memberikan kerjasama dan bukan semua rakyat ‘mengada-ngada’.

Berilah perhatian kepada sensitiviti rakyat dan suara rakyat. Jangan sampai rakyat berbunyi lagi, nanti susah untuk diatasi.

Jika sebelum ini mereka yang layak untuk menerima suntikan dos penggalak boleh melakukan pendaftaran secara walk-in di PPV, kini tidak lagi.

Jadi, berilah perhatian segera kepada isu ini. Jangan sampai ada yang ‘beli’ lagi sijil vaksin.