Joo Ven siap sedia 'smash' Kean Yew

Joo Ven tumpaskan wakil India, Shirag Sen dalam aksi pusingan pertama Terbuka India.
Joo Ven tumpaskan wakil India, Shirag Sen dalam aksi pusingan pertama Terbuka India.
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Soong Joo Ven tidak akan memberi laluan kepada juara dunia, Loh Kean Yew apabila mereka bakal bertemu pada aksi pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka India pada Khamis ini.

Pemain yang berada di ranking ke-70 dunia itu mara ke pusingan kedua kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 selepas mudah menundukkan wakil tuan rumah, Shirag Sen 'straight' set 21-8, 21-7 dalam aksi pusingan pertama pada Selasa.

Bagaimanapun, Kean Yew pula terpaksa 'bermandi peluh' sebelum berjaya mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Kanada, Xiaodong 16-21, 21-4, 21-13.

"Saya bermain dengan baik dalam perlawanan ini. Apa yang penting saya dapat bermain dengan corak permainan yang saya mahukan.

"Bagi perlawanan pusingan kedua, ia bukan tugas yang mudah dan saya perlu buat persiapan. Saya sangat teruja untuk bertemu dengan Kean Yew kerana dia merupakan kawan saya," kata Joo Ven.

Sementara itu, pilihan pertama kejohanan yang juga beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mara mara ke pusingan kedua apabila menamatkan cabaran wakil India, Pratik Ranade-Kanika Kanwal 21-10, 21-11.

Turut langkah ke pusingan seterusnya ialah satu beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang menewaskan gandingan tuan rumah, M R Arjun-Treesa Jolly 21-11, 21-6.

Artikel Berkaitan: