Pengawal peribadi kawal keselamatan keluarga Faisal

Keadaan Faisal ketika ini dilaporkan bertambah baik selepas melalui pembedahan kedua pada Selasa.
Keadaan Faisal ketika ini dilaporkan bertambah baik selepas melalui pembedahan kedua pada Selasa.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PENGAWAL peribadi telah disediakan untuk mengawal keselamatan isteri dan anak pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim susulan insiden simbahan asid yang berlaku Ahad lalu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan pihak polis untuk melakukan rondaan di kediaman Faisal.

"Kita bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan polis telah membuat rondaan. Bukan sahaja Faisal dan keluarga tetapi juga pemain lain.

"Pada masa yang sama, kita juga tempatkan pengawal peribadi untuk membantu isteri dan keluarga Faisal," katanya selepas melawat Faisal di sebuah hospital swasta pada Rabu.

Pada Ahad lalu, Faisal telah disimbah asid oleh individu tidak dikenali dalam satu kejadian di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya.

Akibat kejadian itu, Faisal atau lebih mesra disapa Mickey telah mengalami kelecuran tahap empat dan sedang dirawat di sebuah hospital di Shah Alam.

Keadaan pemain sayap kebangsaan itu ketika ini dilaporkan bertambah baik selepas melalui pembedahan kedua yang dijalankan pada Selasa.

Dia sudah boleh menjamah makanan dan bersemangat untuk cuba melakukan senaman ringan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!