Banjir: Melaka lakukan penilaian permohonan bina, baiki rumah

Sulaiman - Foto Bernama
Sulaiman - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Kerajaan Negeri Melaka menerusi agensi terlibat sedang melakukan kerja-kerja penilaian terhadap permohonan pembinaan rumah baharu dan membaiki rumah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pembinaan rumah baharu berkenaan melibatkan kerosakan rumah tidak dapat dibaiki membabitkan peruntukan sebanyak RM56,000 bagi setiap unit yang terkesan.

Beliau berkata, bagi rumah yang perlu atau boleh dibaiki, peruntukan minimum RM5,000 dan maksimum RM15,000 diperuntukkan bagi setiap unit rumah yang diluluskan permohonan.

"Peruntukan berkenaan disalurkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan permohonan akan dinilai agensi seperti pejabat daerah serta Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

"Setakat ini, di Alor Gajah tiga rumah mangsa banjir yang mengalami kerosakan sepenuhnya atau 'total lost' akan dibina baharu manakala empat rumah terjejas telah siap dibaiki," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan pembelian barang keperluan mangsa bencana banjir Daerah Alor Gajah di sini pada Selasa.

Pada majlis yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari itu, sebanyak 140 mangsa banjir di daerah berkenaan menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM2,500 seorang.

Sementara itu, Sulaiman memberitahu, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan bantuan banjir bagi fasa pertama berjumlah RM1.08 juta untuk mangsa banjir di Melaka melibatkan 434 ketua isi rumah (KIR).

Beliau berkata, peruntukan itu melibatkan 249 KIR di Daerah Alor Gajah, Melaka Tengah (171 KIR) dan Jasin (14 KIR) dan pembayaran berkenaan akan dilakukan secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap mangsa banjir yang belum menerima bayaran ini dapat bersabar kerana saya difahamkan semua pejabat daerah terlibat telah menerima borang permohonan dan ia mengambil sedikit masa sebelum bayaran dilakukan," katanya.- Bernama