Selangor batal permohonan pembinaan PJD-Link

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak berhasrat meneruskan cadangan projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link) dan memutuskan membatalkan permohonan projek berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan laporan penilaian impak dikemukakan terutama dari segi laporan impak sosial, pentadbiran kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan pelan dikemukakan kerana tidak menepati syarat ditetapkan oleh kerajaan Selangor.

"Prinsip pentadbiran ini adalah supaya pembangunan di negeri Selangor mencapai keseimbangan antara kemampanan, kemajuan ekonomi negeri serta tidak membawa kemudaratan kepada rakyat negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Amirudin memberitahu, kerajaan negeri sebelum ini telah meneliti beberapa aspek berhubung cadangan pembinaan lebuh raya itu di kawasan Banda Raya Petaling Jaya.

Jelas beliau, pada awalnya, cadangan pembinaan itu mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri Persekutuan pada 12 November 2017.

"Cadangan ini kemudian dibawa kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada 3 September 2020 dan diberi ruang untuk kajian dijalankan dengan melibatkan penduduk di kawasan Petaling Jaya," jelas beliau.

Beliau memberitahu, cadangan itu kemudian dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 12 November 2021 melalui Memorandum Jemaah Menteri untuk kelulusan bersyarat supaya cadangan itu memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Selangor.

"Susulan daripada itu, perjanjian konsesi antara kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional dan pemaju berkenaan ditandatangani pada 5 April 2022.

"Perjanjian itu dengan syarat syarikat berkenaan melaksanakan secara penuh penilaian impak alam sekitar (EIA), Laporan Kesan Impak Sosial (SIA) dan Kajian Penilaian Impak Trafik (TIA) sebelum perjanjian ini diaktifkan," tambahnya.