Tangkap ikan guna senapang buatan sendiri

Azahari (tengah) melihat induk ikan kelah yang terdapat di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok. - Foto Ihsan Jabatan Perikanan
Azahari (tengah) melihat induk ikan kelah yang terdapat di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok. - Foto Ihsan Jabatan Perikanan
A
A
A

KUANTAN - Tindakan seorang lelaki yang memuat naik gambar pelbagai jenis ikan yang ditangkap di Sungai Jelai, Lipis dalam akaun Facebook miliknya minggu lalu, berakhir dengan duka, apabila berjaya dikesan Jabatan Perikanan negeri.

Pengarahnya, Azahari Othman berkata, lelaki berusia 36 tahun itu didapati telah menangkap ikan menggunakan senapang buatan sendiri selepas disiasat oleh pegawai penguatkuasaannya.

Menurutnya, dibawah peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang, ia menjadi satu kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun RM500 hingga RM5,000,

“Kita mengesan lelaki terbabit selepas dia memuat naik gambarnya bersama hasil tangkapan dalam laman Sosial Facebook minggu lalu..

“Ternyata pegawai kita berjaya mengesannya dan bila siasat senapang ikan buatan sendiri itu digunakan untuk menangkap pelbagai jenis ikan di Sungai Jelai memandangkan air sungai kini cetek serta memudahkan aktiviti memburu ikan terutama di kawasan lubuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, musim kemarau yang melanda negara kini menyebabkan banyak sungai menjadi cetek dan peluang itu digunakan penduduk kampung menangkap ikan menggunakan pelbagai kaedah termasuk senapang ikan, tuba, bahan letupan dan arus elektrik.

Bagaimanapun, tegasnya aktiviti tersebut menyalahi undang-undang dan tindakan boleh diambil ke atas mana-mana individu yang melakukan aktiviti seumpama itu.

Dalam pada itu, Azahari berkata, minggu lalu pihaknya turut mengenakan kompaun kepada seorang lelaki berusia 36 tahun yang melakukan aktiviti menangkap ikan lalang di Empangan Klau, Raub tanpa lesen.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pada ketika itu anggota penguatkuasa jabatan perikanan sedang melakukan pemantau di kawasan empangan berkenaan.

Bagaimanapun mereka terserempak dengan lelaki terbabit yang sedang menangkap ikan menggunakan jala dan pemeriksaan dilakukan mendapati dia tidak mempunyai lesen melakukan aktiviti terbabit.

Beliau berkata, selain dikenakan kompaun antara RM500 hingga RM5,000, peralatan seperti bot gentian kaca, jala dan hasil tangkapan turut dirampas.

“Ikan lalang menjadi makan kepada ikan bersaiz besar di empangan terbabit,” katanya.

Azahari berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan individu yang melakukan apa juga kesalahan dan tindakan tegas akan dikenakan.

“Kita akan menggunakan pelbagai cara bagi mengesan pihak yang bersalah. Pemantau media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Instagram turut dilakukan," katanya.