Dua bot nelayan Indonesia ditahan sedang tangkap ikan

Bot nelayan warga asing ditahan kerana menceroboh perairan di kedudukan lebih kurang enam batu nautika barat daya Pulau Segantang, Langkawi pada Jumaat.
Bot nelayan warga asing ditahan kerana menceroboh perairan di kedudukan lebih kurang enam batu nautika barat daya Pulau Segantang, Langkawi pada Jumaat.
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis menahan dua bot nelayan Indonesia kerana menceroboh perairan di kedudukan lebih kurang enam batu nautika barat daya Pulau Segantang, Langkawi pada Jumaat.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, dua bot terbabit ditahan lebih kurang jam 10 pagi ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bot dikendalikan oleh enam kru termasuk tekong berusia lingkungan 16 hingga 40 tahun.

"Susulan itu, kesemua 12 nelayan Indonesia itu ditahan kerana didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dan bot tidak mempunyai permit menangkap ikan daripada Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

"Selain itu, kita turut merampas bot, peralatan menangkap ikan, 200 kilogram (kg) hasil laut meliputi ikan campur dan 230 liter bekalan diesel," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

"Selain itu, siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 16 (3) akta sama kerana gagal memberitahu pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia,"katanya.

Tambah beliau, hukuman denda sehingga RM6 juta boleh dikenakan kepada tekong dan RM600,000 kepada setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985 jika disabitkan ke atas dua kesalahan itu.

"Bot dan peralatan menangkap ikan boleh dilucuthak kepada kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan.

"Kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri sah,"katanya.

Beliau berkata, kejayaan tangkapan dua bot itu sekali gus menyangkal isu tular di media sosial yang mengatakan bahawa Maritim Malaysia tidak menghiraukan aduan daripada komuniti nelayan.

Orang ramai boleh menghubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 untuk maklum balas segera sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan penguatkuasaan dan carilamat.