Bungkusan klinikal: JAS selesai siasat 29 klinik dalisis

Laporan Sinar Harian mengenai penemuan bahan buangan klinikal ditemui di Felda Sendayan.
Laporan Sinar Harian mengenai penemuan bahan buangan klinikal ditemui di Felda Sendayan.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan telah selesai menyiasat 29 klinik dialisis swasta di negeri ini, susulan penemuan bungkusan klinikal aktiviti dialisis di Kampung Felda Sendayan di sini, minggu lalu.

Pengarahnya, Norhazni Mat Sari berkata, bukti penemuan setakat ini hanya menjurus kepada sebuah klinik di Seremban 2, namun siasatan lanjut sedang dilakukan.

"Kita akan kumpul semua maklumat dan kemudian baru boleh buat kesimpulan.

"Saya berharap insiden sebegini tidak berulang lagi dan nak nasihatkan pengurusan hospital dan klinik supaya uruskan dengan betul bahan buangan klinikal di lokasi pelupusan ditetapkan," katanya.

Menurutnya, lokasi pembuangan juga telah selesai dibersihkan dan JAS telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 34 (B), Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi tujuan pendakwaan.

Terdahulu media melaporkan, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, S Veerapan berkata, JAS telah menemui 11 bungkusan buangan klinikal disyaki daripada aktiviti dialisis Selasa minggu lalu.

"Antara yang ditemui ialah tiub sedut darah selain ada di antaranya masih terdapat kesan darah yang jika dibiarkan boleh terdedah kepada risiko penyakit," katanya.

Artikel Berkaitan: