UMNO Negeri Sembilan jangka selesai lancar jentera minggu ini

Jalaluddin
Jalaluddin
A
A
A

SEREMBAN - Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) UMNO di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang diwakili parti itu ketika ini dijangka selesai dilancarkan minggu ini.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, hanya lima kerusi DUN yang masih belum dilancarkan.

"Pelancaran jentera ini sebagai persiapan awal kita bagi menghadapi PRN dan selepas ini UMNO pula bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan turun ke DUN yang akan diwakili gabungan itu.

"Pada saya penting untuk siapkan jentera kita (UMNO) dahulu dan apabila jentera kita sepenuhnya dapat penjelasan dan pemahaman tentang lanskap politik baharu antara BN dan PH ini baharulah kita gabungkan jentera kita bergerak bagi hadapi PRN," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Bagaimanapun katanya, dalam siri jelajah PRN diadakan, ada pemimpin PH di kawasan DUN berkenaan telah pun hadir sebagai jemputan dan ia merupakan satu perkembangan yang baik.

Jelasnya, jelajah itu juga diadakan bertujuan memberi penerangan terhadap isu-isu semasa yang menjadi persoalan akar umbi.

Selain itu beliau juga yakin sokongan daripada jentera parti itu tidak berkurang pada PRN meskipun pelbagai sentimen negatif diwujudkan hasil kerjasama yang dibentuk dengan PH.

"Bila kita dah buat penjelasan, saya tengok maklum balas diterima amat memuaskan dan kerana itu di setiap DUN yang saya pergi tidak kurang 500 orang kehadiran dan ada melebihi 1,000.

"Saya lihat semangat dan ikatan solidariti jentera kita masih kuat. Cumanya ada satu atau dua yang perlu kita jelaskan lebih lanjut yang mana agak kurang jelas sedikit mengenai lanskap politik baharu sekarang,"katanya.