Peluang menang angpau RM10,000

Chang Kim (tengah) ketika sidang akhbar menerusi aplikasi Zoom pada Isnin.
Chang Kim (tengah) ketika sidang akhbar menerusi aplikasi Zoom pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk meneruskan perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) pada tahun ini secara dalam talian dengan pelbagai program.

Lebih menarik, penonton bertuah juga berpeluang menerima angpau berjumlah RM10,000.

Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, keputusan mengadakan sambutan secara dalam talian dibuat memandangkan wabak Covid-19 masih belum reda.

"Ekoran pandemik tahun lepas, kerajaan negeri Selangor mengambil keputusan mengadakan program sambutan Tahun Baru Cina 2021 secara dalam talian.

"Keputusan julung kali ini juga berjaya menarik penonton dari seluruh negara termasuk daripada Singapura, Taiwan, Macau, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Indonesia.

"Sebanyak 218,000 tontonan dapat dicapai menerusi program dalam talian yang diadakan," katanya ketika sidang akhbar menerusi aplikasi Zoom pada Isnin.

Chang Khim berkata, Program Kebudayaan Istimewa Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor 2022 juga akan diadakan secara dalam talian.

"Program ini akan ditayangkan melalui saluran media dalam talian dan media sosial. Ia akan dihoskan di laman Facebook Mandarin, Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan Chang Khim pada 1 Februari 2022 iaitu hari pertama Tahun Baharu Cina, jam 9 malam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, program kebudayaan istimewa itu bakal menyaksikan penampilan seniman daripada tiga generasi dengan tiga acara berlatarkan zaman masing-masing iaitu pada 70-an, 80-an, dan 90-an serta awal 2000 sehingga terkini.

Menurutnya, tiga acara berkenaan akan berlangsung selama sejam dan dipengerusikan oleh hos televisyen, Yoke Chen dan YouTuber popular, Jym Chong.

"Atur cara program perayaan ini bertujuan untuk menarik penonton pelbagai umur, seterusnya menyatukan semua lapisan masyarakat untuk bersama meraikan Tahun Baharu Cina," katanya.

Antara persembahan yang menarik bakal dipertontonkan adalah persembahan lagu-lagu klasik Tahun Baharu Cina oleh Chow Kam Leong dan Chang Sang Teck (kumpulan Dua Sekawan) dan artis Lee Elaine.

Juga persembahan tarian singa oleh Persatuan Tarian Singa Hong Jing, Selangor dan persembahan tarian oleh Dua Space Dance Theatre, serta nyanyian lagu Tahun Baharu Cina versi acapella oleh Colour of Voices.

Selain itu, persembahan GuZheng oleh Sara Heng, persembahan gendang Cina oleh Hands Percussion serta persembahan Guzheng elektronik dan diabolo LED oleh Sara Heng dan kumpulan Diabolution.

Tidak ketinggalan persembahan daripada artis Lim Wen Suen, Gaston Pong & JE Pong serta ucapan Tahun Baharu Cina daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Dalam pada itu, Chang Khim turut memaklumkan, kerajaan negeri Selangor turut menggubah sebuah lagu Tahun Baharu Cina bertajuk 'Salam Tahun Baru' yang akan dinyanyikan oleh beberapa orang penyanyi undangan seperti Chow Kam Leong, Chang Sang Teck, Lim Wen Suen dan Lee Elaine.

"Video lagu tersebut dirakamkan di Kampung Baru Jenjarom dan akan disiarkan dalam sosial media selepas majlis pelancaran bermula pada Isnin," jelas beliau.

Tambah beliau, dengan mengambil kira sambutan hangat pada 2021, para penonton dijemput mengambil bahagian dalam pelbagai peraduan atas talian dengan mengikuti arahan juruacara bagi memenangi angpau berjumlah RM10,000.

Untuk maklumat lanjut mengenai program istimewa berkenaan, sila hubungi Invest Selangor di talian telefon 03-5510 2005 atau emel maryani@investselangor.mybatau nurul@investselangor.my.

Untuk info pelaburan Selangor, sila lawati www.investselangor.my.