Kerajaan mulakan inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia

Sebanyak 1,879 rumah terjejas banjir akan dibaik pulih manakala 156 bina baharu. - Foto Bernama
Sebanyak 1,879 rumah terjejas banjir akan dibaik pulih manakala 156 bina baharu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerja-kerja baik pulih dan pembinaan baharu kediaman mangsa banjir di seluruh negara di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia sudah bermula Sabtu lalu.

Pelaksanaannya dilakukan menerusi dua kementerian bertanggungjawab iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPKT) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Sebanyak 10,018 rumah dikenal pasti untuk dibaik pulih dan 283 rumah baharu bakal dibina oleh kedua-dua kementerian terbabit.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, angka tersebut diperoleh daripada pejabat daerah dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

"Sebanyak 1,879 rumah untuk dibaik pulih dan 165 bina baharu telah dikenal pasti," katanya ketika sidang akhbar bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di kementeriannya di sini pada Isnin.

Mahdzir berkata, kontraktor tempatan akan diberi keutamaan untuk melaksanakan projek tersebut.

"Ia akan dikendalikan oleh agensi di bawah kementerian iaitu Majlis Amanah Rakyat (Mara), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Felcra," katanya.

Sementara itu, Reezal berkata, nilai asas untuk kerja-kerja membaik pulih sebuah rumah ialah sekitar RM5,000 hingga RM15,000, manakala RM56,000 untuk bina baharu kediaman.

Artikel Berkaitan:

"Tempoh yang disasarkan adalah sekitar dua minggu bagi membaik pulih, manakala empat hingga enam bulan untuk pembinaan baharu kediaman mangsa terjejas," katanya.

Menurutnya, di bawah kementeriannya, sebanyak 8,139 kerja baik pulih dan 118 bina baharu kediaman dikenal pasti.

"Di KPKT, bina baharu kediaman akan dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan PR1MA (Perbadanan PR1MA Malaysia) pula bagi kerja-kerja baik pulih," jelas beliau.

Ditanya mengenai penempatan bagi mangsa banjir di bawah bina baharu kediaman, Reezal berkata, pihaknya bercadang untuk memberikan baucar sewa sementara menunggu rumah mereka siap.

"Bagaimanapun, perkara ini kita akan bentangkan pada mesyuarat kabinet untuk kelulusan," ujarnya.

Pada 19 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan awal RM100 juta bagi membaiki kerosakan rumah dan infrastruktur lain.

Selain itu, kerajaan turut bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir.