150,355 murid di Melaka mula bersekolah

Rais (dua dari kanan) ketika mengedarkan pelitup muka kepada murid-murid di SK Tanjung Minyak pada Isnin.
Rais (dua dari kanan) ketika mengedarkan pelitup muka kepada murid-murid di SK Tanjung Minyak pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Seramai 150,355 pelajar sekolah di negeri ini memulakan sesi persekolahan secara bersemuka bermula pada Isnin.

Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, daripada jumlah itu, 85,136 terdiri daripada murid sekolah rendah dan 65,219 adalah pelajar sekolah menengah.

Menurutnya, kira-kira 71 pelajar tidak dapat hadir ke sekolah kerana terjejas akibat banjir dan masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Jasin.

Selain itu katanya, terdapat beberapa sekolah yang masih menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka selama seminggu kerana sekolah terbabit digunakan sebagai PPS sebelum ini.

"Ada sekolah yang dijadikan PPS sebelum ini juga masih ditutup menyebabkan murid dan pelajarnya terpaksa menjalani sesi pengajian dan pembelajaran di rumah (PdPR).

"Mereka yang mengalami kesukaran dalam menjalani PdPR bolehlah maklumkan kepada pihak sekolah supaya pihak Jabatan Pendidikan dapat memberi bantuan yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengedarkan pelitup muka percuma di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek pada Isnin.

Mengulas lanjut, Rais berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka sedang mengenal pasti murid yang kehilangan buku teks akibat banjir untuk segera memberikan buku teks baharu agar mereka tidak keciciran.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan pastikan segala kelengkapan mereka yang terjejas akan diselesaikan dalam kadar segera supaya pelajaran mereka tidak terjejas," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rais berkata, setakat ini terdapat 36 guru yang tidak divaksin dan ibu bapa dinasihatkan tidak bimbang kerana pihak sekolah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) khas yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian.