Tarif elektrik dijamin tidak membebankan rakyat: Takiyuddin

Takiyuddin (kanan) menyerahkan cek sumbangan kepada tujuh persatuan, NGO dan kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu pada Ahad.
Takiyuddin (kanan) menyerahkan cek sumbangan kepada tujuh persatuan, NGO dan kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan memberi jaminan tarif elektrik baharu bagi tahun 2022 sehingga 2024 tidak akan membebankan rakyat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sudah membuat keputusan berhubung penetapan tarif elektrik dalam tempoh tiga tahun berkenaan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, tarif itu bagaimanapun akan diumumkan oleh kerajaan dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan juga mempertimbangkan keadaan negara yang kini berada dalam pandemik Covid-19 selain krisis ekonomi akibat pandemik,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada tujuh persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu pada Ahad.

Menurut beliau, terdapat lapan juta akaun tiga kategori pengguna elektrik di negara ini dan daripada jumlah itu sebanyak 85 peratus terdiri daripada akaun domestik atau pemegang akaun isi rumah.

Beliau turut memaklumkan ada beberapa pengubahsuaian membabitkan akaun komersial dan industri.

Sementara itu, beliau berkata, setakat ini pihaknya menerima laporan lebih 40,000 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas banjir akan menerima manfaatkan rebat elektrik 100 peratus yang berikan oleh kerajaan bagi Disember.

Dalam perkembangan sama, kerajaan turut memberikan rebat RM200 kepada seluruh rakyat dan RM400 kepada mangsa banjir bagi pembelian barangan elektrik yang bertaraf empat dan lima bintang.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, sebanyak 1,100 kedai yang menjual barangan elektrik berdaftar bagi membolehkan rakyat membeli barangan menggunakan rebat tersebut,” katanya.