PSI tidak jejas sokongan rakyat terhadap PH

Chow Kon Yeow. Gambar kecil: PSI yang terletak di selatan Pulau Pinang terdiri daripada tiga pulau buatan.
Chow Kon Yeow. Gambar kecil: PSI yang terletak di selatan Pulau Pinang terdiri daripada tiga pulau buatan.
A
A
A

GEORGETOWN - Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam dua pilihan raya umum lalu iaitu pada 2018 dan 2022 menunjukkan rakyat di Parlimen Balik Pulau boleh menerima cadangan Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, PSI yang dahulunya dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) telah memulakan langkah pertamanya pada 2013.

Menurutnya, pada 2018, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah diadakan dan PH memenangi majoriti dalam pilihan raya tersebut manakala pada PRU15 pula, PH masih memiliki majoriti di Parlimen terbabit.

Susulan itu, Kon Yeow berkata, projek kontroversi tersebut dilihat tidak akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap PH dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti.

"Projek PSI ini telah dibentangkan kepada rakyat sejak sebelum PRU14 lagi untuk rakyat menyatakan pendirian mereka. Dalam PRU14 pada 2018, sekali lagi kita menyatakan projek ini yang akan dilaksanakan.

"Ketika itu, kita memberi peluang kepada rakyat menggunakan kuasa mereka sebagai pengundi untuk menyatakan pendirian mereka terhadap projek ini.

"Pada 2018, kita menang dengan majoriti terbesar iaitu 37 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. Kita bukan sahaja menang kerusi di tapak projek tetapi turut dipilih oleh mereka yang tinggal di sekeliling kawasan projek," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Komtar pada Khamis.

Beliu berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada pelaksanaan projek mega tersebut akan mempengaruhi sokongan rakyat terhadap PH dalam PRN kelak.

Ini kerana, kawasan terlibat terdiri daripada majoriti orang Melayu yang mana, ia dikatakan Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang yang cerah untuk menang.

Kon Yeow menjelaskan dalam pilihan raya umum lalu juga, sokongan yang diberikan kepada PH dilihat tidak luntur walaupun PRN belum diadakan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri tidak boleh menghalang mana-mana pihak daripada mempolitikkan projek berkenaan.

"Kita tidak boleh halang sama ada badan bukan kerajaan atau ahli politik daripada mempolitikkan projek ini. Ini kerana, kita amat terbuka dengan projek ini sejak awal lagi.

"Tiada apa yang hendak disembunyikan," ujarnya.

Sebelum ini, Kon Yeow mengumumkan bahawa Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi PSI telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mana, perkara itu dimaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar menerusi sepucuk surat bertarikh 11 April lalu.

Kon Yeow berkata, kelulusan itu adalah berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.

Tambah beliau, kerja-kerja tambakan hanya akan dimulakan selepas kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diperoleh yang mana ia dijangka akan bermula pada suku ketiga tahun ini.

Projek PSI adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.

Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Consortium dilantik sebagai PDP untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.