Warga SPRM nyata pendirian sokong Azam

Kenyataan akhbar SPRM pada Ahad.
Kenyataan akhbar SPRM pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga pimpinan utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mewakili seluruh agensi itu menyatakan pendirian menyokong Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki yang kini berdepan dakwaan terlibat salah laku.

Dalam satu kenyataan bersama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi berkata, tohmahan dan serangan terhadap Azam itu dilihat bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.

"Kami menggesa semua pihak menghentikan kemelut ini dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama.

"Warga SPRM tetap bersatu mempertahankan institusi Ketua Pesuruhjaya dan SPRM," kata kenyataan itu pada Ahad.

Azam dalam sidang akhbar pada Rabu menjelaskan akaun saham beliau digunakan oleh adiknya Nasir Baki untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka dengan pembiayaan sendiri.

Beliau turut menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mempunyai kawalan ke atas beberapa syarikat, termasuk syarikat konglomerat.

Pada masa sama, Azam turut menyifatkan dakwaan itu sebagai satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka bagi menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

Pada Khamis, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, pihaknya akan menghubungi Azam untuk mendapatkan penjelasan selain mengesahkan kenyataan yang dibuat serta mengumpulkan bukti berkaitan akaun dagangan saham miliknya yang digunakan oleh adiknya bagi pembelian saham pada 2015.

Artikel Berkaitan:

Menurut SC, di bawah Seksyen 25 SICDA, setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti yang dideposit atau atas penama yang diberi kuasa atau dibenarkan.