Guna nama beli saham tak patut dijadikan isu: Azam Baki

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM hari ini. -Foto Bernama
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menjelaskan isu adiknya, Nasir Baki menggunakan akaunnya untuk membeli saham tidak harus menjadi isu.

Menurutnya, sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran terbuka dan ia tidak menjadi satu kesalahan untuk berbuat demikian.

"Sebenarnya, siapa-siapa pun boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran.

"Kalau ada kesalahan dan benar berlaku (salah menggunakan akaun orang lain), beritahu saya kalau ia merupakan satu kesalahan," katanya ketika sidang media khas bersama Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Rabu.

Sidang media khas itu dibuat bagi menjawab dakwaan berhubung salah laku yang dikatakan membabitkan pegawai-pegawai tinggi di suruhanjaya berkenaan.

Mengulas lanjut, Azam turut menegaskan bahawa dalam isu saham ini, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tuduhan terdapat 'conflict of interest' seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak adalah tidak berasas.

Katanya, isu itu telah dijelaskan kepada Panel LPPR, yang mana akaun sahamnya digunakan oleh adiknya untuk membuat urusniaga.

"Saya tiada kepentingan atau benefisial ke atas saham-saham yang dibeli itu. Saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik saya menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli olehnya tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.

Artikel Berkaitan:

"Saham itu kemudiannya dipindahkan ke dalam akaun beliau," katanya.

Azam berkata, tuduhan yang mengatakan beliau mengawal banyak syarikat juga adalah 'total lie' dan didakwa sengaja dicipta untuk memberi persepsi negatif terhadapnya.

Tambahnya, tuduhan itu digambarkan seolah-olah beliau mengawal satu konglomerat yang besar untuk menjatuhkan reputasinya sebagai Ketua Pesuruhjaya dan institusi SPRM.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya tohmahan ini kerana ia merupakan perbuatan yang berniat jahat," tegasnya.