Pembangunan Sungai Baru: Penduduk tuntut pampasan setimpal

Lele Suzana (tengah, duduk) pada sidang akhbar di Dewan Kampung Paya, Kampong Bharu di sini pada Sabtu.
Lele Suzana (tengah, duduk) pada sidang akhbar di Dewan Kampung Paya, Kampong Bharu di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk rumah teres Kampung Sungai Baru di sini menuntut sesi pendengaran kedua yang dijadualkan berlangsung pada 19 Januari hingga 31 Januari ini ditangguhkan sehingga rundingan dengan pemaju mencapai kata sepakat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres Kampung Sungai Baru, Lele Suzana Kudari berkata, penangguhan itu selari dengan janji dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika pertemuan dibuat bersama jawatankuasa bertindak pada 6 Disember lalu.

Menurutnya, menteri berjanji bahawa pembangunan semula Kampung Sungai Baru hanya boleh dilaksana selepas pemilik dan pemaju bersetuju dengan kadar pampasan dan situasi menang-menang kepada kedua-dua belah pihak.

"Namun, kami terkejut kerana sesi pendengaran kedua tetap akan diteruskan oleh oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) sedangkan janji menteri masih belum dilaksanakan.

"Lebih mengecewakan, PTGWPKL mahu meneruskan sesi tersebut atas desakan pihak pemaju, " katanya pada sidang akhbar di Dewan Kampung Paya, Kampong Bharu di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, seramai 38 pemilik rumah teres terlibat bagi sesi pendengaran tersebut manakala 27 pemilik rumah teres telah menurunkan tandatangan persetujuan pembangunan semula kawasan itu.

Beliau menjelaskan, pada 2016 syarikat pemaju, Ritzy Gloss Sdn Bhd telah mengemukakan hasrat untuk menjalinkan usahasama dengan pemilik untuk membangunkan kawasan tersebut namun cadangan itu ditolak oleh penduduk.

"Usaha memujuk penduduk diteruskan sehingga Oktober 2020 sebelum Warta 4 dan Warta 8 dikeluarkan pada Jun 2021 dengan alasan majoriti pemilik telah bersetuju dengan pemaju.

Artikel Berkaitan:

"Notis siasatan untuk sesi pendengaran pertama diterima pada Julai 2021 diikuti pendengaran kedua pada Disember lalu namun ditangguhkan hasil desakan pihak jawatankuasa," katanya.

Tegasnya, banyak isu yang masih menjadi kebimbangan penduduk termasuk isu pampasan, kredibiliti syarikat pemaju dan perjanjian yang didakwa berat sebelah.

"Kami tuntut kadar pampasan mestilah setimpal dan mengikut nilaian semasa. Tanah Kampung Sungai Baru adalah berstatus pegangan pajak dan masih berbaki 57 tahun lagi, bukan tanah berstatus Malay reserve.

"Jurunilai swasta yang dilantik telah menilai tanah di sini tidak kurang daripada RM1,500 per kaki persegi tidak termasuk nilai bangunan di atas tanah.

"Prasarana telah mengambil beberapa lot tanah di kawasan Kampong Bharu bagi pembinaan MRT dengan membayar pampasan RM1,250 per kaki persegi untuk kegunaan awam manakala LRT telah mengambil dua plot tanah di sini dengan nilaian RM500 kaki persegi pada tahun 80-an," katanya.

Justeru, penduduk mendesak isu pembangunan semula kawasan itu diberikan perhatian dan campur tangan pihak berwajib.

"Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun perlu memastikan agensi terlibat seperti PTG, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bukan hanya memikirkan soal ekonomi semata-mata tetapi harus mengambil berat tentang soal penindasan dan penganiayaan kepada pemilik.

"Kami pemilik yang sah membayar cukai tanah dan pintu yang telah menduduki tanah sejak bergenerasi. Kami bukanlah penduduk setinggan yang boleh diusir begitu sahaja oleh pihak yang berkepentingan," katanya.