Konflik SPRM: Gerak gesa PM segerakan siasatan bebas

Kenyataan akhbar oleh Gerak pada Sabtu.
Kenyataan akhbar oleh Gerak pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya segera memulakan siasatan bebas terhadap dakwaan wujudnya konflik kepentingan membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Gerak, siasatan berkenaan juga sebaiknya dilaksanakan oleh sebuah Jawatankuasa Dwipartisan Parlimen.

Katanya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang terbabit dalam dakwaan tersebut juga perlu direhatkan sementara sehingga siasatan selesai dan nama beliau dibersihkan daripada sebarang tuduhan.

“Kredibiliti SPRM sedang dipersoalkan.

Ia kini berada di bawah pengawasan ketat orang awam.

Sidang media oleh SPRM tidak akan menyelesaikan apa-apa.

“Pentadbiran Ismail Sabri mesti menyiasat perkembangan ini secara telus memandangkan SPRM berada di bawah pengawasannya.

Jangan ada sebarang usaha untuk berselindung,” tegas Gerak dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Isu membabitkan dakwaan konflik kepentingan melibatkan Azam Baki menjadi perhatian susulan peletakan jawatan pakar ekonomi, Profesor Dr Edmund Terence Gomez sebagai ahli panel perundingan SPRM pada 27 Disember lalu.

Menurut Edmund, tindakan tersebut diambil selepas beliau mendakwa badan tersebut gagal membincangkan laporan mengenai isu konflik kepentingan membabitkan Azam.

Bagaimanapun, Azam Baki menerusi sidang media pada Rabu lalu menafikan dakwaan mengatakan beliau memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Azam menjelaskan, saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adiknya menggunakan pembiayaannya.

Tambah beliau, saham-saham syarikat yang dibeli oleh syarikatnya tiada kaitan dengan siasatan SPRM.

Mengulas lanjut, Gerak turut menyatakan terdapat usaha yang dilakukan untuk menyerang Edmund melalui cubaan untuk memutar-belitkan kenyataan yang dilakukan oleh pakar ekonomi itu dan menjadikannya sebagai satu isu perkauman.

“Bagaimanapun, janganlah kita terpengaruh dengan telatah keji itu.

Kami di Gerak boleh membuktikan bahawa Edmund merupakan salah seorang ahli ekonomi politik terkemuka Malaysia dan seorang ahli akademik yang memiliki karakter sempurna.

“Dia tidak akan membuat tuduhan yang tidak berasas.

Seluruh kariernya yang terbilang membuktikan integritinya yang tidak boleh dipertikaikan,” ujar kenyataan itu lagi.

Jelas Gerak, tindakan dilakukan Edmund itu juga adalah sebagai menjalankan tugasnya sebagai ahli akademik dan intelektual awam dalam menganalisis dan mengkritik sebarang salah laku tanpa sebarang kepentingan diri.

Tambah beliau, Edmund juga mesti diakui dan diberikan penghargaan oleh pentadbiran negara atas khidmatnya kepada negara dan tidak diganggu hanya kerana menjalankan tugasnya.