Beratur panjang demi daging RM18 sekilogram

Seorang pembeli membeli kaki lembu yang dijual dengan harga RM50 setiap satu selain membeli daging segar yang dijual hanya RM18 sekilogram di Gong Kemuntong pada Rabu. Foto Bernama
Seorang pembeli membeli kaki lembu yang dijual dengan harga RM50 setiap satu selain membeli daging segar yang dijual hanya RM18 sekilogram di Gong Kemuntong pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

JERTIH - Orang ramai sanggup berbaris panjang sebelum pukul 7 pagi tadi untuk membeli daging lembu segar yang dijual dengan harga runtuh RM18 sekilogram (kg) di sebuah gerai di Kampung Gong Kemuntong di sini.

Seorang pembeli, Noraini Idris, 58, berkata, walaupun dia tahu gerai daging itu akan dibuka pada 8 pagi, dia mengambil keputusan keluar dari rumahnya di Kampung Padang Luas di sini pukul 6.40 pagi bagi memastikan tidak terlepas peluang mendapatkan daging lembu dengan harga semurah itu.

"Harga yang dijual ini ialah harga pasaran bagi jualan daging lembu pada 2000 kerana harga semasa daging lembu di sini sekarang sudah RM33 ke atas,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Dalam pada itu, peniaga daging Zamani Nawawi, 50, berkata, harga daging segar itu adalah yang terendah berbanding harga pasaran yang pernah dijualnya.

"Sebanyak tiga ekor lembu disembelih untuk dijual pada harga berkenaan dan daging habis dijual tidak sampai satu jam,” katanya.

Zamani berkata, dia menghantar ketiga-tiga lembu itu untuk disembelih di pusat penyembelihan lembu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) daerah Besut di Gong Medang di sini pada 2 pagi tadi.

Sebaik tiba di gerai jualan dari tempat penyembelihan, dia mendapati orang ramai telah beratur menunggu untuk membeli daging.

"Saya terpaksa hadkan setiap orang hanya boleh beli tiga kilogram bagi memberi peluang lebih ramai mendapatkannya.

Artikel Berkaitan:

"Saya jual dengan harga murah kerana ingin bersedekah sambil berniaga.

"Saya rasa gembira kerana ramai masyarakat di daerah ini dapat membeli daging lembu segar meskipun saya memperoleh untung sedikit,” katanya yang telah berniaga daging sejak 30 tahun lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!