X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Terence Gomez letak jawatan ahli panel SPRM

Edmund Terence Gomez
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli ekonomi, Edmund Terence Gomez meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi di suruhanjaya berkenaan.

Gomez dalam surat letak jawatannya yang tular di media sosial berkata, timbul persoalan mengenai 'hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa' dan situasi 'konflik kepentingan' membabitkan pegawai tinggi SPRM serta dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham.

Menurutnya, bekas pegawai tinggi SPRM didakwa terbabit dalam situasi konflik kepentingan, sekali gus mencadangkan 'ada suatu trend di institusi itu (SPRM) yang mesti disiasat segera'.

Cubaan beliau meminta supaya panel SPRM mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut melalui surat kepada Pengerusi Panel SPRM, Tan Sri Borhan Dolah pada 12 November, 26 November dan 14 Disember lalu juga tidak berhasil.

Katanya, Borhan hanya memberikan maklum balas segera terhadap surat pertamanya dengan memberitahu bahawa mesyuarat itu bakal diadakan dan diuruskan oleh pentadbiran SPRM manakala dua lagi suratnya tidak berbalas.

Gomez berkata, surat kedua yang dihantar pada 26 November itu mengandungi maklumat tambahan diterimanya daripada kajian yang menurut beliau sangat meluas dan disifatkan merisaukan.

"Pada 14 Disember 2021, sebulan selepas saya mula-mula membawa perkara ini kepada perhatian anda, saya menulis sekali lagi kepada Tuan. Saya menyebut bahawa saya tidak menerima maklum balas anda untuk kedua (surat) saya pada 26 November, walaupun ada perkara yang mendesak yang kami, ahli panel perundingan SPRM terpaksa berbincang.

"Saya kemudian menyatakan bahawa jika saya tidak mendengar daripada anda, saya perlu mengemukakan peletakan jawatan saya daripada panel perundingan SPRM.

"Sekarang sudah dua minggu sejak saya menghantar surat ini. Saya tiada pilihan selain menyerahkan peletakan jawatan saya yang sepatutnya dilihat sebagai bantahan atas kelewatan pihak tuan, sebagai Pengerusi Panel Perundingan dan SPRM, untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan sesuatu isu yang panel ini bertanggungjawab untuk menyemak," katanya dalam surat yang bertarikh pada Isnin itu.

Media sebelum ini melaporkan terdapat pegawai tinggi SPRM yang memiliki konflik kepentingan dalam beberapa entiti perniagaan melalui pemilikan saham syarikat tertentu.

Dalam pada itu, Gomez memaklumkan beliau menghantar surat sebanyak tiga kali dengan kandungan maklumat yang sama kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang.

Dakwanya, surat tersebut yang mengandungi maklumat sama diberikan kepada Borhan bagaimanapun turut tidak mendapat maklum balas.

Gomez amat kesal kerana tidak dapat meyakinkan Borhan dan Abu Zahar untuk bertindak segera serta terbuka mengenai perkara berkenaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!