'Atlet, jurulatih karate berprestasi rendah digugurkan'

Nur Azmi
Nur Azmi
A
A
A

BEBERAPA atlet dalam skuad karate dilihat akan dilepaskan akibat prestasi kurang memberangsangkan terutamanya pada Kejohanan Asia ke-17 dan Kejohanan Kadet, Remaja Asia ke-19 dan Kejohanan Bawah 21 di Almaty, Kazakhstan, bulan lalu.

Persekutuan Karate Malaysia jelas kecewa dengan atlet karate negara yang hanya mampu membawa pulang satu gangsa dari Almaty menerusi lelaki B21 84 kilogram (kumite) dan akibatnya kemungkinan lima atau enam atlet mungkin akan digugurkan.

Makaf yang bergantung sepenuhnya kepada jurulatih tempatan selepas tidak memperbaharui kontrak ketua jurulatih Ali Reza Souleymani dari Iran awal tahun lalu dan membawa bekas jurulatih Thailand dan juara dua kali Sukan Asia, R Puvaneswaran, juga mungkin menggugurkan beberapa jurulatih yang tidak menunjukkan prestasi baik, selepas mesyuarat jawatankuasa teknikal yang akan diadakan tidak lama lagi.

Setiausaha Agung Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pihaknya melihat kemungkinan menggugurkan atlet tidak menunjukkan prestasi yang baik dan akan memfokuskan kepada program pembangunan, dengan mengambil lebih ramai atlet muda menerusi Terbuka Makaf bulan hadapan, sebelum Sukan SEA Hanoi pada Mei dan Sukan Asia pada September.

“Prestasi itu amat buruk, tidak baik untuk Makaf. Betul kita perlu melihat semua, lakukan post mortem, kami perlu lakukan sesuatu. Kami tidak boleh berikan alasan Covid-19 setiap kali, kerana semua negara hadapi masalah yang sama.

“Tiada gunanya mengekalkan atlet yang tidak menunjukkan prestasi baik lebih lama, jika mereka tidak menunjukkan prestasi untuk dua atau tiga tahun, baik gugurkan dan tumpukan kepada pembangunan. Kita mungkin mempunyai kira-kira 18 atlet dalam skuad utama dan 20 hingga 25 atlet dalam skuad pelapis untuk tumpukan kepada pembangunan, Makaf akan tanggung kos atlet tambahan,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan Makaf akan menggunakan semula khidmat jurulatih asing, Nur Azmi menjelaskan, perkara itu akan diputuskan oleh jawatankuasa teknikal, namun berkemungkinan mereka akan kekal menggunakan jurulatih tempatan sehingga Sukan Asia.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin pada Khamis berkata, senarai akhir atlet dalam program latihan kebangsaan hanya akan ditetapkan pada 24 Januari kerana Makaf masih belum memberikan senarai 28 atlet termasuk pasukan pelapis.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, berkaitan pemotongan elaun atlet kebangsaan, Azmi berpandangan yang pemotongan itu terlalu besar dan berharap MSN akan memberikan situasi menang-menang.

“Kami tidak marah mereka potong elaun disebabkan keadaan sekarang, tetapi jangan bunuh mereka dengan pemotongan yang terlalu besar, sehingga 50 peratus. Dengan kos kehidupan yang tinggi di KL, apa yang mereka boleh buat dengan RM800 (untuk pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA) sebulan? Mereka juga perlu tanggung keluarga mereka dan juga mempunyai komitmen lain seperti bulanan kenderaan.

“Dengan persatuan juga tidak menerima peruntukan mencukupi dari kerajaan, bagaimana kami dapat bantu atlet. Kami adalah juara keseluruhan tiga kali di Sukan SEA, kami harap MSN akan dapat melihat semula keputusan itu untuk solusi lebih baik,” katanya.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada Rabu mengumumkan semakan semula elaun atlet kebangsaan berdasarkan kepada prestasi mereka sejak tahun 2018, dengan pemenang pingat emas Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN akan menerima elaun RM2,000, manakala pemenang pingat perak dan gangsa menerima RM800.

Elaun latihan bagi atlet yang merangkul pingat Sukan Asia/Para Asia dan Sukan Komanwel pula, menyaksikan pemenang emas menerima kadar elaun RM4,500 diikuti RM4,000 (perak) dan RM3,500 (gangsa) manakala RM7,500 bakal menanti pemenang emas Sukan Olimpik/Paralimpik diikuti RM7,000 (perak) dan RM6,000 (gangsa).

Selain itu, atlet yang tidak mendapat pingat tetapi masih disenaraikan dalam program latihan MSN, bakal mendapat RM800 manakala atlet pelapis RM500.

Pada 2019, penyelarasan elaun menyaksikan pemenang pingat pada Sukan Olimpik/Paralimpik akan menerima RM7,500, diikuti atlet yang memenangi pingat di Sukan Asia/Para Asia menerima RM6,000, Sukan Komanwel menerima RM3,500 dan Sukan SEA/Para ASEAN pula RM2,000. - Bernama