Karate optimis akhiri kemarau 12 tahun

Dua atlet karate negara, S Prem Kumar (kanan) dan C Shamalaran (kiri) menunjukkan pingat emas yang dimenangi mereka pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.
Dua atlet karate negara, S Prem Kumar (kanan) dan C Shamalaran (kiri) menunjukkan pingat emas yang dimenangi mereka pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.
A
A
A

PERSEKUTUAN Karate Malaysia (MAKAF) optimis mampu mengakhiri kemarau 12 tahun tanpa kilauan pingat emas pada temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, September ini.

Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, persiapan rapi sedang giat dilakukan barisan atlet negara yang akan turut menjalani latihan selama sebulan di Mesir pada Jun ini dan seterusnya di Jepun serta Vietnam.

“Persediaan ini juga bagi menghadapi Kejohanan Karate Asia ke-19 di Melaka pada 20 hingga 23 Julai ini yang dilihat medan terbaik untuk atlet negara menguji kemampuan dan meningkatkan prestasi mereka.

“Pada Kejohanan Karate Asia kali ini, kita menyasarkan sekurang-kurangnya satu emas dapat dihasilkan daripada mana-mana disiplin sama ada kata atau kumite,” katanya di Pasir Ujong, Melaka pada Ahad.

Nur Azmi berkata, pemilihan atlet bagi Sukan Asia adalah berdasarkan prestasi mereka pada Kejohanan Karate Asia itu yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Nur Azmi yakin Malaysia mampu mencapai sasaran dalam kedua-dua kejohanan tersebut dengan kehadiran jurulatih baharu dari Mesir, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy dan komitmen serta semangat skuad negara.

“Dengan kutipan empat pingat emas, dua perak dan lima gangsa pada Sukan SEA 2023 di Kemboja baru-baru ini yang melepasi sasaran tiga emas ditetapkan, kita percaya ia juga satu persediaan yang baik untuk skuad negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nur Azmi berkata, Melaka sudah bersedia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Karate Asia yang akan disertai 2,000 atlet termasuk 500 atlet para daripada 45 negara.

“Dari segi teknikal bersama jawatankuasa kecil, saya selaku pengerusi dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka (SUK) sebagai penganjur bersama telah mengadakan perbincangan demi perbincangan untuk memastikan kejohanan ini berjalan lancar,” jelasnya.