'Atlet berlatih luar MSN terkesan'

Nazmizan
Nazmizan
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) diharapkan dapat menilai dan mengkaji semula pemotongan elaun terhadap atlet negara terutamanya bagi atlet yang tidak berlatih di MSN Bukit Jalil.

Menurut bekas pelari pecut negara, Nazmizan Mohamad, penilaian terhadap pemotongan elaun itu dilihat akan membantu atlet-atlet berkenaan terutamanya bagi menampung perbelanjaan harian mereka.

Malah katanya, pihak MSN juga diharapkan dapat membantu dengan memberikan sedikit penambahan kepada jumlah elaun yang dipotong.

“Bagi saya, perkara ini sememangnya perlu dikaji kerana bukan semua atlet yang menjalani latihan di MSN dan menikmati kemudahan-kemudahan seperti penginapan termasuk makanan.

“Mungkin bagi atlet-atlet yang tinggal di luar sebagai contoh seperti seperti atlet 110 meter berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian yang menjalani latihan di Sabah boleh menerima sedikit elaun tambahan daripada MSN bagi membantu mereka menjalani latihan dengan lebih selesa,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pada Khamis, MSN menerusi Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan, penurunan kadar elaun bagi atlet berkenaan adalah susulan keadaan semasa ekonomi negara ketika ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19, selain bencana alam yang melanda negara baru-baru ini.

Bagaimanapun dalam masa sama, Ahmad Shapawi turut berkata, pihaknya akan membuat semakan semula terhadap pemberian elaun kepada atlet kebangsaan yang lebih bersesuaian kepada prestasi semasa atau terbaik mereka.

Sementara itu, Nazmizan berkata, kesemua 21 atlet yang digugurkan perlu memanfaatkan kejohanan-kejohanan yang bakal dianjurkan dalam masa terdekat bagi menyerlahkan prestasi semasa masing-masing untuk dipanggil menyertai semula Program Podium dan Pelapis Kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua atlet yang digugurkan ini perlu mengambil peluang ‘talian hayat’ yang diberikan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), yang memberikan peluang untuk mereka kembali ke Program Podium dan Pelapis Kebangsaan.

“Namun, atlet perlu menunjukkan prestasi yang baik dan ia boleh dilihat menerusi penyertaan mereka di kejohanan-kejohanan yang dianjurkan, walaupun tidak banyak kejohanan tetapi mereka perlu merebut peluang untuk beraksi,” katanya.