Sila log masuk terlebih dahulu.

MSN semak semula elaun latihan atlet

Ahmad Shapawi
Ahmad Shapawi
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) membuat semakan semula pemberian elaun kepada atlet kebangsaan yang diberikan kontrak baharu menjalani program latihan tahun ini, berdasarkan prestasi mereka sejak 2018.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata penyelarasan semula elaun itu dilakukan susulan keadaan semasa ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19, selain bencana alam yang melanda negara baru-baru ini.

“Memang terdapat sedikit penurunan kepada elaun yang lebih bersesuaian kepada prestasi semasa atau terbaik mereka, dan ini lebih adil kepada mereka yang mempamerkan prestasi bersesuaian dengan pingat dimenangi,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Menurutnya pemenang pingat emas Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN akan menerima elaun RM2,000 manakala pemenang pingat perak dan gangsa menerima nilai sama berjumlah RM800.

Katanya, elaun latihan bagi atlet yang merangkul pingat Sukan Asia/Para Asia dan Sukan Komanwel pula adalah sama, menyaksikan pemenang emas menerima kadar elaun RM4,500 diikuti RM4,000 (perak) dan RM3,500 (gangsa) manakala RM7,500 bakal menanti pemenang emas Sukan Olimpik/Paralimpik diikuti RM7,000 (perak) dan RM6,000 (gangsa).

Selain itu, atlet yang tidak mendapat pingat tetapi masih disenaraikan dalam program latihan MSN, bakal mendapat RM800 manakala atlet pelapis RM500.

Ahmad Shapawi menjelaskan jumlah elaun latihan diterima itu tidak termasuk penginapan, makan dan minum, latihan dan prasarana latihan yang disediakan oleh MSN kepada atlet.

Pada 2019, penyelarasan elaun menyaksikan pemenang pingat pada Sukan Olimpik/Paralimpik akan menerima RM7,500, diikuti atlet yang memenangi pingat di Sukan Asia/Para Asia menerima RM6,000, Sukan Komanwel menerima RM3,500 dan Sukan SEA/Para ASEAN pula RM2,000.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada atlet sedia maklum dengan penyelarasan elaun itu, beliau berkata mereka dilihat memahami berhubung situasi semasa melanda negara, sehingga menyebabkan kadar elaun distruktur semula.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata, pemberian elaun itu sebahagian daripada peruntukan berjumlah RM27.5 juta diberikan kepada MSN, untuk menyediakan program latihan kepada atlet senior, pelapis dan atlet para yang bertanding pada tiga temasya sukan utama sepanjang tahun ini.

“Kita ada misi kita untuk Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei ini, diikuti Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom pada Julai dan Sukan Asia di Hangzhou, China pada September.

“Program ini akan dibentuk menerusi temasya tersebut. Kita tahu kita perlukan peruntukan yang kita dapat sebelum ini, dan amat berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan peruntukan ini,” katanya. -Bernama