MSN bagi jaminan kualiti LTdL

Pelumba Astana, Gleb Syritsa meraikan kejayaannya menjuarai Peringkat 1 LTdL 2022 dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur.
Pelumba Astana, Gleb Syritsa meraikan kejayaannya menjuarai Peringkat 1 LTdL 2022 dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur.
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) memberi jaminan perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 akan tetap berlangsung mengikut jadual asal dari 23 hingga 30 September depan.

Malah, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail turut mengesahkan sebanyak 22 pasukan akan bertanding dengan diketuai dua pasukan bertaraf World Tour - Astana Qazaqstan dan EF Education-EasyPost.

Menurutnya, pengesahan daripada kesemua pasukan terlibat termasuk daripada lapan pasukan ProTeam secara tidak langsung menjamin kualiti perlumbaan berstatus ProSeries itu yang memasuki edisi ke-27 tahun ini.

"Pengumuman ini bertujuan meleraikan sebarang keraguan mengenai status LTdL kali ini yang pernah dibangkitkan ekoran sambutan kurang memberangsangkan daripada barisan penaja perlumbaan.

"MSN ingin mengesahkan sudah mendapat jaminan penajaan mencukupi dan pengurusan perlumbaan LTdL kali ini dapat dilaksanakan dengan selesa," katanya ketika sidang akhbar di MSN, Bukit Jalil pada Khamis.

Lapan pasukan ProTeam yang bakal menyertai LTdL 2023 ialah Green Project-Bardiani CSF-Faizane, Caja Rural-Seguros RGA, Equipo Kern Pharma, Euskaltel-Euskadi, Human Powered Health, Team Corratec-Selle Italia, Tudor Pro Cycling Team dan Bolton Equities Black Spoke Cycling Team.

Selain dua pasukan World Tour dan lapan wakil ProTeam, 11 pasukan benua termasuk Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yang menampilkan pemenang Jersi Raja Bukit dua kali berturut-turut, Muhammad Nur Aiman Zariff bakal mengambil bahagian.

Selain TSG yang sekali lagi dijangka membariskan beberapa pelumba handalan tempatan, skuad kebangsaan Malaysia diterajui ketua jurulatih, Mohd Yusuf Abdul Nasir melengkapkan senarai 22 pasukan bertanding pada perlumbaan LTdL kali ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi berkata, pihaknya sedang memuktamadkan perjanjian dengan badan penyiar antarabangsa dan tempatan bagi memastikan LTdL 2023 dapat disiarkan secara langsung sekurang-kurangnya di 10 buah negara.

"Persiapan sekarang berjalan lancar terutamanya bagi memastikan syarat-syarat yang ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dapat dipenuhi seperti penyediaan kemudahan pengangkutan dan penginapan kepada pasukan bertanding.

"Beberapa aspek penting yang lain juga turut ditekankan membabitkan keperluan teknikal selain memastikan keselamatan semua pihak terutamanya para pelumba terjaga sepanjang tempoh perlumbaan nanti," ujarnya.

LTdL 2023 yang membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,280 kilometer (km) akan bermula peringkat pertama di Kerteh, Terengganu dan berakhir peringkat kelapan di Kuala Lumpur.