Harga siling ayam meningkat hingga 30 sen seekor

Harga siling ayam dijangka meningkat 20 sen hingga 30 sen seekor bermula bulan hadapan. - Foto 123RF
Harga siling ayam dijangka meningkat 20 sen hingga 30 sen seekor bermula bulan hadapan. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Harga siling ayam dijangka meningkat 20 sen hingga 30 sen seekor bermula bulan hadapan.

Timbalan Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Lee Yoon Yeau berkata, pada masa sama, harga siling telur ayam juga dijangka meningkat empat sen sebiji.

Beliau berkata, ia disebabkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) bagi harga siling ayam telah menyebabkan kerugian kepada golongan penternak termasuk pemborong dan peruncit.

Menurutnya, skim tersebut dikatakan tidak mengikut kos operasi dan harga dedak import yang sudah meningkat sehingga menyebabkan syarikat pengeluaran kerugian hingga RM3 juta setiap bulan.

“Kita memang terkejut dan kecewa dengan harga siling kerana kos untuk membela 1,000 ekor ayam semakin tinggi.

“Tambah pula negara tidak ada tanaman jagung atau kacang soya yang digunakan untuk dedak dan perlu diimport dari luar negara.

“Dalam dua minggu ini, harga jagung naik daripada RM1,300 kepada RM1,420 satu tan. Kacang soya daripada RM2,200 tetapi pada hari ini, lepas dua minggu sudah cecah sehingga RM2,400,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Yoon Yeau yang juga Pengerusi Persatuan-Persatuan Penternak Melaka berkata, kenaikan tersebut bukan untuk mengejar untung 20 hingga 30 peratus bagi setiap pengeluaran, tetapi hanya sedikit sahaja.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sekiranya kerajaan meneruskan harga kawalan mereka tiada tempat untuk 'bernafas' dan meneruskan perniagaan.

“Sekarang bagi seekor ayam harga penternak ialah RM6.10. Pemborong jual RM6.55 dan peruncit RM9.10. Kita tidak mahu naik banyak pun, hanya naik 20 sen hingga 30 sen seekor.

“Bagi telur pula, harga penternak 39 sen sebiji, pemborong 41 sen dan peruncit 43 sen dengan kadar dua sen. Formula pengiraan ini sudah 25 tahun lalu. Kita mahu minta hanya naik empat sen sahaja,” ujarnya.

Jelas Yoon Yeau, harga kawalan tersebut hanya perlu dilaksanakan pada musim perayaan sahaja seperti Tahun Baru Cina, Aidilfitri, Krismas dan Deepavali.

Ujarnya, sekiranya dilaksanakan berterusan, ia akan memberikan gambaran buruk kepada sektor pengeluaran ayam dan telur.

“Jangan risau, kenaikan itu tidak akan membebankan pengguna, sekali gus akan mewujudkan situasi menang-menang. Setiap kenaikan ini akan turun juga dan tidak akan beban rakyat.

“Media juga pernah melaporkan kenyataan seorang ahli ekonomi yang telah memberi amaran terhadap pengenaan kawalan harga ke atas barangan keperluan. Dia memberitahu akibatnya dalam jangka panjang boleh menjadi 'ketidakamanan makanan' (food insecurity).

“Kawalan harga pada dasarnya akan menghalang pemain industri daripada mengeluarkan barangan dan perkhidmatan. Ini boleh menyebabkan kepada kekurangan,” jelas beliau.