Banjir Kampung Spang Loi: Rumah pusaka, dinding rumah 'berlubang'

Rumah pusaka dan barangan elektrik yang rosak serta dinding rumah yang berlubang, adalah antara ‘kemusnahan’ harta benda susulan banjir di Kampung Spang Loi dekat sini, selepas lima hari kejadian ban pecah, di sini. - Foto Bernama
Rumah pusaka dan barangan elektrik yang rosak serta dinding rumah yang berlubang, adalah antara ‘kemusnahan’ harta benda susulan banjir di Kampung Spang Loi dekat sini, selepas lima hari kejadian ban pecah, di sini. - Foto Bernama
A
A
A

SEGAMAT - Rumah pusaka dan barangan elektrik yang rosak serta dinding rumah yang berlubang, adalah antara ‘kemusnahan’ harta benda susulan banjir di Kampung Spang Loi dekat sini, selepas lima hari kejadian ban pecah, di sini.

Salah seorang penduduk, Hasmaini Ali Kasa, 58, sayu melihat keadaan dinding rumahnya yang 'berlubang', akibat kejadian banjir teruk melanda kawasan itu Ahad lepas.

Ibu kepada empat orang anak itu baru pulang ke rumah selepas lima hari tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Agama Spang Loi, susulan rumah didiaminya dinaiki air.

“Saya balik ke rumah pagi tadi selepas air sudah surut dan melihat dinding rumah di bahagian tepi berlubang...rasa sedih dan sayu dengan dugaan ini, kerana pertama kali mengalami banjir teruk sejak tinggal di sini pada 2002. Air naik sangat cepat kerana ban pecah, tidak sempat untuk selamatkan harta benda lain,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kawasan rumahnya yang dinaiki air setinggi 1.2 meter pada Isnin, disifatkan sebagai banjir terburuk pernah dialaminya.

Hasmaini berkata, mereka sekeluarga kini dalam proses membersihkan rumah dan menilai semula barangan serta kos kerugian akibat kejadian banjir.

Selain dinding, peralatan rumah seperti mesin membasuh baju dan televisyen turut rosak teruk, tambahnya lagi.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Muhammad Rizam Razali, 42, berkata, rumah pusaka milik keluarganya turut rosak teruk, selain semua peralatan rumah tidak dapat diselamatkan.

Artikel Berkaitan:

Hanya bot antara ‘harta’ yang ada untuk digunakan pada masa akan datang, tetapi barangan lain sudah hanyut atau rosak akibat banjir, jelasnya dalam nada sayu.

“Ketika kejadian ban pecah pada 2.30 pagi itu, saya bergegas menyelamatkan adik-beradik dan anak saudara yang ada di dalam rumah. Perkara yang penting adalah nyawa dan dapat selamatkan dokumen penting,” katanya.

Tinjauan Bernama pada Jumaat mendapati penduduk mula pulang ke rumah masing-masing selepas air banjir surut sejak malam Khamis, dengan ramai sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan turut sama membantu penduduk kampung membersihkan rumah.

Beberapa lori turut dilihat memasuki kawasan tersebut untuk membawa keluar sampah dan barangan mangsa banjir yang terjejas untuk dilupuskan. - Bernama