'Jemaah umrah palsukan sijil vaksin zalim'

Datuk Zamri Hashim
Datuk Zamri Hashim
A
A
A

PARIT BUNTAR - Tindakan segelintir jemaah umrah memalsukan sijil vaksinasi untuk menunaikan umrah disifatkan sebagai menzalimi jemaah lain yang mengambil vaksin.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, tindakan individu tidak bertanggungjawab itu boleh mencalarkan kredibiliti sijil vaksinasi yang amat diperlukan untuk warga Malaysia bagi menunaikan ibadah haji dan umrah.

Menurutnya, disebabkan pemalsuan itu, dibimbangi akan memberi kesan kepada pemilik sijil vaksinasi yang sah untuk menunaikan haji dan umrah pada masa akan datang.

"Hukum menipu memang tidak ada siapa kata boleh. Dia (individu palsu sijil vaksinasi) menzalimi orang yang benar-benar ambil vaksin, jadi tindakan kita tidak boleh mudaratkan orang lain.

"Kalau tindakan dia menyebabkan orang lain terzalim sebagainya, lagi-lagi nak buat umrah ataupun haji, benda-benda ini yang menyebabkan amalan ibadah haji dan umrah kita dikhuatiri tidak mabrur," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Pengisytiharan Sempadan Kariah dan Solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, Taman Desa Mekar di sini pada Jumaat.

Zamri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa terdapat 17 jemaah umrah yang positif Covid-19 varian Omicron tidak menerima sebarang vaksin.

Menurutnya, dari segi hukum jika jemaah yang menipu sijil vaksinasi tetapi menyempurnakan rukun dan syarat sah haji dan umrah, ibadah tersebut sah namun ia belum tentu diterima oleh ALLAH SWT.

Beliau turut menasihati jemaah yang memanipulasi sijil vaksinasi untuk menunaikan umrah supaya bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis mengesan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) apabila 14 peratus daripada 122 kes Omicron membabitkan jemaah umrah setakat Selasa tidak menerima suntikan vaksin.