X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

'SPRM tak boleh siasat SPRM'

Fahmi Fadzil - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa siasatan khas terhadap isu pemilikan sejumlah saham atas nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilakukan segera.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, adalah tidak wajar siasatan dilakukan sendiri oleh agensi tersebut.

Beliau berkata, Azam selaku pemimpin utama badan itu juga sepatutnya direhatkan sehingga selesai siasatan bebas secara terperinci.

"SPRM tidak boleh menyiasat SPRM. Perlu ada pihak yang bebas untuk melakukan siasatan, sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau melalui Parlimen.

"Beliau (Azam) juga tidak layak berkhidmat sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan patut direhatkan sekurang-kurangnya sejak pertemuan dengan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) untuk memberi penjelasan," katanya.

Beliau berkata, polis juga perlu menyiasat semua dana yang telah digunakan untuk pembelian saham oleh Azam seperti dimaksudkan dalam kenyataan media sebelum ini.

"Ini bagi memastikan tidak berlaku pelanggaran undang-undang. Sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang kita minta polis ambil tindakan. Jika dibuktikan tidak bersalah, beliau boleh meneruskan khidmat.

"Isu ini juga perlu dibawa ke Parlimen sama ada dalam sidang khas atau pada sidang akan datang. Isu ini sangat penting kerana melibatkan satu institusi teras dalam pentadbiran negara iaitu SPRM. Justeru, siasatan penuh sepatutnya dibuat terhadap SPRM," katanya kepada pemberita, pada Jumaat.

Fahmi sebelum itu membuat laporan polis terhadap Azam di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi bersama Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Laporan polis berkenaan meminta PDRM melakukan siasatan berdasarkan sekurang-kurangnya tiga undang-undang yang membabitkan penjawat awam dan berhubung milikan saham iaitu Seksyen 25 25(a) dan 29 (a) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 tahun 2002 (Pemilikan dan Pengisytiharan Harta Oleh Pegawai Awam) dan Seksyen 10 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tatatertib 1993 (Pemunyaan Harta).

Sementara itu, Maszlee berkata, isu tersebut tidak boleh didiamkan kerana ia bukan hanya membabitkan undang-undang tetapi isu moral, integriti serta masa hadapan negara.

Beliau berkata, rakyat perlu bangkit untuk memastikan mereka yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah, mengangkat integriti, moral dan kelangsungan masa depan negara adalah orang yang benar-benar bersih.

"Hari ini dengan apa yang berlaku, justifikasi pemilikan saham dipercayai bernilai jutaan ringgit oleh seorang pemimpin agensi penguat kuasa yang sepatutnya memerangi rasuah, salah laku dan salah guna kuasa tetapi jikalau ini dibenarkan, ia akan menjadi satu titik 'precedent' untuk negara menyaksikan sejarah korupsi akan dihalalkan secara besar-besaran.

"Jika kita berdiam diri dan membiarkan, akur atau mengiktiraf salah laku ini, kita akan saksikan di masa hadapan para penguat kuasa dan mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga integriti dan akauntabiliti negara akan mengumpul kekayaan sebanyak mungkin dan dengan mudah mengatakan ini adalah milik adik, kakak, abang, atok (datuk), nenek dan moyang mereka dan lepas begitu sahaja," katanya.

Pada Rabu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR),Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam sidang akhbar khasnya mengakui berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Hasil penjelasan dibuat Azam, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki dan LPPR mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau 'conflict of interest' dalam perkara tersebut.

Azam dalam sidang akhbar sama dilaporkan berkata, tindakan adiknya, Nasir Baki menggunakan akaunnya untuk membeli saham tidak harus menjadi isu kerana sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran terbuka dan ia tidak menjadi satu kesalahan untuk berbuat demikian.

Kontroversi membabitkan Azam semakin panas apabila Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Profesor Edmund Terence Gomez, meletakkan jawatan pada minggu lalu susulan panel berkenan didakwa gagal membincangkan laporan kritikal membabitkan pegawai tinggi SPRM.

Gomez dalam surat peletakan jawatannya kepada Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Tan Sri Borhan Dolah yang tular di media sosial berkata, keputusan itu dibuat kerana timbul persoalan mengenai ‘hubungan antara perniagaan dan pihak berkuasa’ dan situasi konflik kepentingan membabitkan pegawai tinggi SPRM.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!