Alat bantuan pernafasan rosak, pasangan suami isteri rayu sumbangan

Norfardilatul Akmar (tengah) menunjukkan alat bantuan pernafasan anaknya yang rosak dan mohon sumbangan orang ramai.
Norfardilatul Akmar (tengah) menunjukkan alat bantuan pernafasan anaknya yang rosak dan mohon sumbangan orang ramai.
A
A
A

KUANTAN - Malang berganda buat pasangan suami isteri yang bukan sahaja berdepan kemusnahan harta benda, sebaliknya alat bantuan pernafasan digunakan anak bongsu mereka rosak akibat banjir.

Norfardilatul Akmar Mustafa, 38, berkata, anaknya, Mohd Hisyamuddin Mohd Asri, 7, yang dikesan mempunyai masalah paru-paru kini berdepan kesukaran untuk bernafas dengan lebih sempurna selepas kerosakan alat bantuan itu.

"Suami (Mohd Asri Abdul Rashid) hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mempunyai pendapatan sekitar RM1,400 sebulan. Dengan harga RM14,000, kami tak mampu untuk membeli alat bantuan pernafasan yang baharu.

"Kami tidak tahu bagaimana lagi nak buat. Ketika air mula melimpah di kawasan rumah, saya cuma sempat berpindah dan membawa beberapa barangan penting sahaja, tambahan pula kami hanya mempunyai motosikal, jadi tidak banyak yang boleh kami bawa dan alat itu juga kami tak sempat untuk alihkan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin, di sini pada Khamis.

Norfardilatul Akmar memberitahu, anak bongsunya itu mula dikesan menghidap penyakit berkaitan paru-paru sejak berusia enam bulan.

Susulan itu, katanya, Mohd Hisyamuddin sering dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi tujuan rawatan.

Mohd Hisyamuddin perlu menggunakan alat bantuan pernafasan bagi meneruskan kehidupan.
Mohd Hisyamuddin perlu menggunakan alat bantuan pernafasan bagi meneruskan kehidupan.

"Kami dimaklumkan oleh doktor pakar bahawa Mohd Hisyamuddin perlu menggunakan alat bantuan pernafasan bagi meneruskan kehidupan.

Artikel Berkaitan:

"Luluh hati saya dan suami apabila mendengar penjelasan daripada doktor pakar berkenaan, tapi ketika itu, pihak HTAA dan Pusat Zakat Pahang membantu dengan membekalkan peralatan terbabit, jadi bolehlah dia (Mohd Hisyamuddin) meneruskan hidup seperti biasa.

"Tapi banjir hujung tahun lalu benar-benar menguji kami apabila alat itu tak sempat kami selamatkan. Apa yang ada dalam fikiran kami sekarang ini adalah kesihatan Mohd Hisyamuddin sahaja. Bagaimana kami nak cari dana untuk membeli alat yang baharu untuk dia," katanya.

Ibu kepada tiga anak itu memaklumkan bahawa Mohd Hisyamuddin dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada Mac nanti.

"Kami berharap ada pihak sudi membantu anak saya mendapatkan alat bantuan pernafasan yang baharu," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan Mohd Hisyamuddin boleh menghubungi talian 011-2534 0421 dan bagi yang berhasrat untuk menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Maybank 156226176966 atas nama Norfardilatul Akmar Mustafa.