'Masjid tempat beribadah, bukan tempat sebar provokasi'

Dr Ismail Salleh
Dr Ismail Salleh
A
A
A
ALOR SETAR - Masjid adalah rumah ALLAH SWT dan merupakan tempat ibadat umat Islam, sewajarnya kesuciannya dipelihara.

Exco Agama, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah termasuk seluruh umat Islam agar sentiasa menjaga ketertibannya dalam semua aspek, sama ada pentadbiran, kebersihan, program, kuliah serta khutbah demi memastikan kesucian rumah ALLAH itu terpelihara.

Menurutnya, dakwaan Forum Perdana Roadshow Skuad Badar di Sungai Petani pada Khamis lalu dihalang daripada memasuki masjid adalah tidak tepat.

“Kerajaan Negeri tidak akan halang penganjur untuk cari tempat lain selain masjid dan mengadakan forum tersebut jika mendapat kebenaran polis,” katanya.

Program anjuran Skuad Badar itu dibatalkan oleh pengurusan Masjid Tunku Sallehudin, Bandar Putri Jaya setelah menerima arahan supaya forum berkenaan tidak diadakan dalam masjid.

Dr Ismail berkata, tajuk forum ‘Melayu Selamat Islam Berdaulat’ bukan sahaja bersifat provokasi dan bermotifkan politik sempit tetapi mempunyai unsur perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan kaum yang wujud sekian lama.

"Setelah memperincikan semua fakta, melalui pelbagai sumber, demi menjaga kesucian institusi masjid ia wajar dibatalkan agar unsur-unsur tidak sihat dapat dibendung dari awal,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri tegas tidak membenarkan masjid dan institusi keagamaan digunakan oleh mana-mana pihak untuk menyebar sentimen perkauman sempit dan politik kepartian yang boleh menggugat keharmonian masyarakat setempat.

“Masjid adalah tempat penyatuan umat Islam. Ia bukan sahaja tempat pentadbiran dan ibadat malah institusi masjid mestilah berperanan sebagai tempat menyatupadukan masyarakat. Jangan sesekali dijadikan medan menimbulkan persengketaan yang akan menyebabkan perpecahan masyarakat,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Dr Ismail turut mengajak semua umat Islam agar sepakat menjaga kesucian rumah Allah SWT daripada unsur-unsur negatif.

“Pentadbiran masjid adalah bawah Majlis Agama Islam Kedah (Maik) di mana Sultan Kedah sebagai penaung dan Raja Muda sebagai Yang DiPertua Maik, saya harap elakkan mencemarkan nama baik baginda,” katanya.

Menurutnya, penolakan penganjuran itu juga disebabkan Skuad Badar merupakan sebuah NGO haram dan tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), malah memiliki rekod bawah Polis DiRaja Malaysia (PDRM).