Kes harian dijangka cecah 30,000 jika Omicron tidak dibendung

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan kes harian Covid-19 mencecah 30,000 sekiranya langkah bagi membendung gelombang varian Omicron tidak diambil.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, justeru, keputusan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu merupakan antara langkah yang terpaksa diambil bagi mengekang penularan varian itu.

“Berdasarkan simulasi KKM, sekiranya kita tidak ambil langkah-langkah pencegahan seperti penangguhan sementara umrah dan kuarantin, kita akan lihat kes melonjak mulai bulan ini hingga Februari dengan lebih 15,000 kes sehari,” katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata, jangkaan itu merupakan unjuran KKM melalui model Berisiko-Terdedah-Berjangkit-Diasingkan (SEIR) yang menggunakan kadar kebolehjangkitan (Rt) iaitu masing-masing pada 0.95, 1.2 dan 1.6.

Katanya, meskipun jangkitan varian Omicron setakat ini tidak seteruk Delta namun jika kes meningkat sehingga 30,000, kemasukan ke hospital turut meningkat walaupun hanya pesakit kategori satu dan dua.

Mengulas pemberian dos penggalak, Khairy berkata, empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) integrasi dengan kapasiti lebih besar akan mula beroperasi pada 15 Januari iaitu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Axiata Arena Bukit Jalil, Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam dan Soka Gakkai di Klang.

“Semua aktiviti pemberian dos penggalak akan dilakukan menerusi janji temu yang diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, individu boleh menghubungi PPV-GP (klinik pengamal perubatan am swasta) yang disenaraikan di laman web ProtectHealth untuk mendaftar dalam senarai menunggu di klinik terbabit.

Artikel Berkaitan:

Khairy juga berkata, setakat ini, 30 peratus populasi dewasa dan 52 peratus warga emas di Malaysia sudah menerima dos penggalak. - Bernama