Kes 1MDB: Mahkamah arah panggil saksi lain

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, mengarahkan pihak pendakwaan supaya bersedia dengan beberapa saksi lain bagi kes menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, jam 2.30 petang ini.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata demikian, selepas saksi ke-12 iaitu bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir tidak dapat meneruskan soal balas kerana demam.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib menerima mesej daripada saksi tersebut pada jam 8.30 pagi, menyatakan dia tidak dapat hadir kerana sakit.

“Walaupun saksi itu dapat menunjukkan sijil cuti sakit, namun saya mohon dia hadir sekejap di mahkamah dan saya dapati dia berada dalam keadaan lemah.

“Mata dan tubuhnya kemerahan selain mempunyai suhu yang tinggi. Dia demam tapi bukan Covid-19, ia demam biasa Yang Arif,” katanya.

Bagi mengelak pembaziran masa mahkamah, Ahmad Akram berkata, pasukan pendakwaan menghubungi lima saksi lain.

Saksi-saksi itu ialah wakil firma audit KPMG Malaysia, Datuk Johan Idris; pegawai khas Najib, Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail; bekas Pengarah Bukan Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail; bekas setiausaha syarikat 1MDB, Lim Poh Seng dan Setiausaha Syarikat TRX City Sdn Bhd, Goh Gaik Kim.

Ahmad Akram: Namun mereka semua kata tidak dapat hadir, Datuk Johan berada di London, Datuk Wan Ahmad Shihab mengalami cirit-birit, Tan Sri Ismee sedang menjalani kuarantin kerana umrah, Poh Seng perlu mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 manakala Gaik Kim mempunyai dua mesyuarat penting hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hakim Collin: Tak apa, bukan salah anda. Saya hargai usaha pihak pendakwaan namun mahkamah boleh hantar sepina kepada Gaik Kim.

Ahmad Akram: Ya, Yang Arif.

Hakim Collin: Pasukan pendakwaan ada 50 saksi lain kan?

Ahmad Akram: Ya, Yang Arif.

Hakim Collin: Jadi saya tangguhkan prosiding pagi ini dan kita sambung semula jam 2.30 petang.

Ahmad Akram: Tapi, kita belum failkan pernyataan saksi-saksi itu Yang Arif.

Hakim Collin: Kita boleh teruskan dengan kenyataan lisan, sebab saya tidak mahu membazirkan masa mahkamah.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah sama.

Prosiding bersambung jam 2.30 petang ini.