Jumlah mangsa banjir di tiga negeri menurun pagi ini

Keadaan rumah penduduk di Kampung Tolungan, Pamol yang dinaiki air. - Foto Bernama
Keadaan rumah penduduk di Kampung Tolungan, Pamol yang dinaiki air. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di tiga negeri dilaporkan semakin baik apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menunjukkan pengurangan pagi Khamis.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Johor dan Sabah meningkat sedikit pagi Khamis berbanding pada Rabu malam.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 506 individu membabitkan 124 keluarga dengan lima PPS dibuka setakat 8 pagi Khamis berbanding 589 individu melibatkan 148 keluarga pada Rabu malam.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 466 orang daripada 126 keluarga pada pukul 8 pagi Khamis berbanding 468 mangsa daripada 128 keluarga pada pukul 8 malam Rabu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 14 kawasan di Jasin.

Sementara itu, di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan masih terdapat seramai 1,369 mangsa banjir di 30 PPS melibatkan lima daerah pagi Khamis, sekali gus menunjukkan penurunan berbanding malam Rabu dengan 1,491 mangsa.

Daerah yang terlibat banjir ialah Temerloh yang mempunyai mangsa paling ramai iaitu 510 orang manakala mangsa di Bera, Maran, Pekan dan Rompin adalah mangsa banjir gelombang kedua yang bermula tahun ini.

Sementara itu, laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan Sungai Bera dan Sungai Serting di Bera serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan masih melebihi paras bahaya.

Artikel Berkaitan:

Di JOHOR, mangsa banjir meningkat sedikit kepada 4,449 orang setakat 8 pagi Khamis berbanding 4,253 orang malam Rabu, dengan 66 PPS yang masih beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata, enam daerah masih terjejas banjir dengan Segamat mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 2,508 orang daripada 685 keluarga.

Sementara itu, empat sungai masih mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Muar di Liang Batu, Muar; Sungai Muar di Kampung Olak Sepam, Muar; dan Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat; dan Sungai Muar di Buloh Kasap, setakat 6 pagi Khamis.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir dilaporkan sedikit meningkat dengan 3,275 mangsa daripada 1,350 keluarga pagi Khamis berbanding 3,264 mangsa daripada 1,341 keluarga malam Rabu.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, semua mangsa banjir ditempatkan di 27 PPS yang masih beroperasi di lima daerah terjejas banjir yang terletak di utara dan pantai timur negeri itu.

Kota Marudu kekal merekodkan mangsa banjir paling ramai dipindahkan dengan 2,668 mangsa daripada 1,161 keluarga di 14 PPS; diikuti Pitas 330 mangsa daripada 129 keluarga di empat PPS; Telupid (178 mangsa, 43 keluarga, enam PPS); Paitan (54 mangsa, 10 keluarga, dua PPS); dan Sandakan (45 mangsa, tujuh keluarga, satu PPS).

Di SELANGOR, Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di Selangor kekal seramai 40 orang melibatkan dua PPS di daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam berada ditahap bahaya iaitu pada ketinggian 2.9 meter, manakala Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat (3.7 meter) dan Sungai Tengi di Pekan Tanjong Karang, Kuala Selangor (2.01 meter) di tahap waspada setakat 7.45 pagi Khamis. - Bernama