KRPPM-SDG cadang penubuhan RCI urus banjir

Tangkap layar kenyataan KRPPM-SDG pada Rabu.
Tangkap layar kenyataan KRPPM-SDG pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (KRPPM-SDG) mencadangkan 11 langkah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memacu pengurusan risiko banjir yang lebih holistik dan bersepadu.

Pengerusinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, antaranya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menjalankan penyiasatan secara menyeluruh berkenaan tadbir urus, ketersediaan, respon dan komunikasi antara kerajaan persekutuan, negeri serta tempatan dalam misi mencari dan menyelamat.

“Suruhanjaya ini juga ditubuhkan untuk menjalankan penyiasatan secara mendalam di semua kawasan terjejas untuk mengenal pasti faktor-faktor setempat yang menyumbang risiko berlaku bencana banjir.

“Selain itu, mengkaji semula perancangan guna tanah termasuk Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Daerah Tempatan serta proses penyahwartaan Hutan Simpanan Kekal di Malaysia.

“Akta Perhutanan Negara 1984 perlu disemak dan diperkukuh untuk mewajibkan penglibatan orang awam berkenaan penyahwartaan HSK di semua negeri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyegerakan penghasilan Pelan Adaptasi Kebangsaan (myNAP) yang telah dirancang sejak tahun 2015 yang mempunyai perancangan senario masa hadapan, rangka kerja perancangan berasaskan risiko dan dilengkapi tindakan serta sasaran yang jelas.

Jelasnya, pelan itu adalah kritikal untuk membina daya tahan sektor-sektor penting yang terancam oleh cuaca ekstrem dan kesan perubahan iklim seperti sumber air, sekuriti makanan, infrastruktur, kesihatan awam, komuniti dan kepelbagaian biologi.

Seterusnya, kerajaan harus memperkasakan dan memanfaatkan penggunaan 'Nature-based Solutions' dalam pengurusan risiko bencana dan adaptasi iklim.

Artikel Berkaitan:

“Ini termasuk mempercepatkan pewartaan hutan tadahan air dan hutan kawalan banjir serta melarang pembangunan dan aktiviti pembalakan di kawasan tersebut.

“Selain itu, wujudkan moratorium untuk tiada pengeluaran sijil pembalakan baharu dan mengkaji semua sijil pembalakan untuk kawasan Hutan Simpanan Kekal dan mewujudkan struktur insentif dan disinsentif bagi pemuliharaan hutan dan sumber asli kepada kerajaan negeri melalui pengagihan hasil kerajaan pusat termasuklah 'Ecological Fiscal Transfer',” katanya.

Rohani menambah, KRPPM-SDG menyarankan kerajaan mengkaji semula dan menghentikan pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar dan mudah terancam terutamanya kawasan dengan kepadatan penduduk yang tinggi seperti Bukit Nanas.

Ujarnya, terdapat risiko berlaku tanah runtuh semasa banjir jika pembangunan diteruskan di mana kos-kos baik pulih terpaksa ditanggung oleh rakyat dan hasil cukai rakyat.

Sementara itu, kerajaan juga harus mewujudkan program di serata negara untuk mentransformasikan kawasan-kawasan perbandaran ke arah pengurusan air yang lebih holistik dan bersepadu.

“Sama seperti konsep 'Sponge City' yang boleh menangani masalah banjir kilat dan masalah perbandaran lain seperti kekurangan bekalan air, ‘urban heat island’, kualiti udara dan kemerosotan ekosistem.

“Nature-based Solutions menerusi landskap seperti koridor hijau, hutan bandar, kawasan rekreasi, kolam tadahan, saliran dan sungai perlu diutamakan,” jelas beliau.

Di samping itu, katanya, kerajaan juga boleh mewujudkan rangka kerja perundangan yang mewajibkan Penilaian Strategik Alam Sekitar untuk semua dasar, pelan dan program untuk menerapkan alam sekitar serta tindakan mitigasi dan adaptasi iklim di semua peringkat proses membuat keputusan.

Jelas Rohani, pelaksanaan program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti di seluruh negara dapat meningkatkan tahap ketersediaan rakyat untuk menghadapi bencana pada masa hadapan.

“Misalnya, berkomunikasi Pelan Tindakan Kecemasan dengan komuniti bersama agensi terlibat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), polis dan bomba.

“Selain itu, kerajaan juga perlu mewujudkan mekanisme untuk menyegerakan pembangunan bingkas pulih di kawasan yang terjejas bencana dari segi pembaikan infrastruktur, pemulihan sumber pendapatan, insurans dan pampasan untuk kerugian dan kerosakan serta perkhidmatan kesihatan dan psikososial.

“Seterusnya, menubuhkan sebuah Suruhanjaya Perubahan Iklim (Climate Change Comission) untuk mengawal selia hal ehwal berkenaan perubahan iklim termasuk adaptasi dan pengurusan risiko bencana,” jelas beliau.