Melaka tubuh pasukan petugas khas tangani banjir

Terdapat 27 lokasi panas banjir di seluruh Melaka dan ada antaranya yang memerlukan solusi segera. - Foto Bernama
Terdapat 27 lokasi panas banjir di seluruh Melaka dan ada antaranya yang memerlukan solusi segera. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Melaka menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani isu banjir di negeri itu bagi mencari solusi segera dalam menyelesaikan masalah berkaitan bencana itu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir Datuk Rahmad Mariman berkata, pasukan khas itu, yang dipengerusikan oleh beliau sendiri, turut dianggotai agensi berkaitan kerajaan negeri.

"Di samping solusi jangka panjang dan sederhana, pasukan ini akan mencari solusi segera bagi kes-kes yang boleh dipercepat dan tidak menelan kos tinggi di lokasi panas banjir yang dikenal pasti," katanya selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menziarahi mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan Alor Gajah pada Selasa.

Kata beliau, setakat ini, terdapat 27 lokasi panas banjir di seluruh Melaka dan ada antaranya yang memerlukan solusi segera.

Katanya, sebagai contoh, ada yang boleh diselesaikan segera dengan pembinaan ban atau laluan parit alternatif bagi memastikan pengaliran air lancar.

"Ini yang sedang kita usahakan, yang mana kita boleh selesaikan dahulu kita akan laksanakan secepat mungkin kerana ada kawasan seperti Lubok Cina yang 50 tahun tidak banjir, kali ini turut terkesan," katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan Persekutuan telah meluluskan lapan projek bernilai RM931.2 juta bagi mengatasi masalah banjir di Melaka.

Projek terbabit ialah Projek Tebatan Banjir (RTB) Sungai Melaka Fasa 1, naik taraf Kolam Tebatan Banjir Krubong, RTB Sungai Duyong, RTB Alor Gajah Fasa 1, RTB Jasin, RTB Merlimau, penyediaan peta bahaya lembangan Sungai Duyong dan kajian pelan induk RTB Sungai Sungai Baru.

Artikel Berkaitan:

Rahmad pula berkata, RTB yang dirancang dijangka menyelesaikan masalah banjir secara berperingkat dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun.

"Kita berharap dengan siapnya semua projek yang dirancang ini, sebahagian atau 80 peratus masalah banjir di Melaka akan selesai," katanya. - Bernama