Kontraktor didakwa lagi beri rasuah RM20,000 projek naik taraf JKR

Amir yang memakai kemeja merah jambu hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa yang dituduh memberi rasuah RM20,000 April tahun lalu.
Amir yang memakai kemeja merah jambu hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa yang dituduh memberi rasuah RM20,000 April tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang kontraktor yang sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan rasuah, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas satu pertuduhan memberi suapan RM20,000 kepada seorang jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung projek naik taraf, April tahun lalu.

Bagaimanapun, Amir Ali, 46, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi suapan wang tunai RM20,000 kepada seorang ejen kerajaan Malaysia iaitu seorang jurutera daerah JKR Hulu Selangor.

Ia sebagai dorongan untuk membuat sesuatu yang berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu mendapatkan anggaran harga jabatan dan untuk mendapatkan Kerja-Kerja Menaiktaraf Fasiliti dan Kemudahan Asrama Pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak, Hulu Selangor.

Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jalan Bukit Bintang di sini pada April 2021.

Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

“Pihak pendakwaan juga memohon kepada mahkamah untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi dibicarakan bersama tiga lagi pertuduhan di bawah seksyen yang sama,” katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican tidak membantah cadangan pihak pendakwaan supaya kes ini dipindahkan ke Shah Alam.

Begitupun katanya, pasukan pembelaan tidak bersetuju dengan jumlah jaminan yang dicadangkan dan memohon budi bicara mahkamah untuk mengguna pakai ikat jamin serta syarat tambahan yang dikenakan di Shah Alam.

“Anak guam saya dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM20,000 serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan,” katanya.

Selepas mendengar cadangan dan rayuan daripada kedua-dua pihak, Suzana membenarkan rayuan pembelaan untuk mengguna pakai jaminan dengan syarat tambahan yang ditetapkan oleh Mahkamah Shah Alam.

“Saya juga membenarkan kes ini dipindahkan ke Shah Alam untuk dibicarakan bersama tiga lagi kes di sana,” katanya.

Pada 21 Disember 2021, Sinar Harian melaporkan, dua beradik yang juga kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, masing-masing atas tiga pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM83,000 berhubung kerja-kerja naik taraf, penyelenggaraan dan membaik pulih di Jabatan Kerja Raya (JKR), Hulu Selangor, tahun lalu.