Sila log masuk terlebih dahulu.

Dua beradik kontraktor tidak mengaku beri rasuah projek JKR

Amir (kiri) dan Asdi (dua, kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa bagi menghadapi pertuduhan kes meminta rasuah berjumlah RM83,000, tahun lalu.
Amir (kiri) dan Asdi (dua, kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa bagi menghadapi pertuduhan kes meminta rasuah berjumlah RM83,000, tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua beradik yang juga kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, masing-masing atas tiga pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM83,000 berhubung kerja-kerja naik taraf, penyelenggaraan dan membaik pulih di Jabatan Kerja Raya (JKR), Hulu Selangor, tahun lalu.

Asdi Ali, 41 dan abangnya, Amir Ali, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Asdi didakwa memberi suapan berjumlah RM23,000 kepada ejen Kerajaan Malaysia iaitu seorang jurutera daerah, JKR Hulu Selangor di sini, pada September dan Oktober 2020.

Ia sebagai dorongan kepadanya untuk mendapatkan anggaran harga jabatan untuk kerja-kerja baik pulih longkang, menurap dan baik pulih jalan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Rawang; Jalan Ampang Pechah, Kuala Kubu Bharu dan Pekan Batang Kali di sini.

Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara pertuduhan pertama hingga ketiga, Amir didakwa memberi suapan berjumlah RM60,000 kepada ejen Kerajaan sama pada Mac, April, Ogos dan September 2020 lalu.

Artikel Berkaitan:

Ia sebagai dorongan kepadanya untuk mendapatkan anggaran harga jabatan untuk kerja-kerja naik taraf, pembaikan bangunan, infrasruktur Kolej Komuniti Hulu Selangor; penyelenggaraan bangunan, pembaikan bumbung di Bukit Beruntung dan Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Serendah, di sini.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di hadapan Pejabat Akai Enterprise di Jalan Rasa Thurai, Kuala Kubu Bharu di sini.

Tertuduh juga didakwa mengikut seksyen sama dengan peruntukan hukuman yang sama.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hafizuddin Salehuddin (bagi pihak Datuk Hasnal Rezua Merican) merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Rozilah membenarkan Asdi dijamin sebanyak RM15,000 manakala Amir RM20,000 dengan seorang penjamin.

Setiap tertuduh juga katanya, dikehendaki untuk memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 26 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.