'Benar gaji RM5,000 namun bukan pendapatan tetap'

Lelaki Bangladesh itu menunjukkan slip gaji yang diperolehnya. (Gambar kecil) Mohd Izzat Afif
Lelaki Bangladesh itu menunjukkan slip gaji yang diperolehnya. (Gambar kecil) Mohd Izzat Afif
A
A
A

KUALA TERENGGANU – “Memang benar dia pekerja kami dan gajinya bulan lepas lebih RM5,000,”

Demikian pengesahan Pengurus Ladang Mawar Group of Estate (MGOE) & Cherul Group of Estate (CGOE), Mohd Izzat Afif Ismail berhubung video seorang lelaki warga Bangladesh memperoleh pendapatan sehingga RM5,000 yang tular di media sosial mulai Ahad.

Bagaimanapun menurut Mohd Izzat Afif, jumlah tersebut bukan pendapatan tetap yang diperolehi setiap bulan sebaliknya berdasarkan jumlah berat buah tandan segar, kerja tambahan dan elaun-elaun lain seperti yang termaktub di bawah Persatuan Pengeluar Pertanian Malaya (MAPA) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW).

Jelas beliau, pekerja berkenaan, Md Shamim Ali, 27, sudah bekerja di Ladang Mawar sebagai pemandu traktor dan pengangkut buah sawit sejak lima tahun lalu dan dikenali sebagai seorang pekerja yang rajin serta berdedikasi.

“Tugas dia adalah memandu traktor tapi dia selalu angkut buah sekali. Dengan dua tugas itu, dia dibayar RM8.50 untuk satu tan buah sawit dan kebiasaannya dia boleh angkut antara 20 hingga 30 tan sawit dalam sehari.

“Cuma bulan lepas dapat RM5,000 lebih sebab Md Shamim dapat mengangkut lebih banyak buah dan banyak buat kerja-kerja lain kerana dia mahu cuti balik kampung untuk berkahwin pada Mac nanti.

“Bulan ini dijangka gaji diperolehi mereka lebih besar kerana ada pembayaran bonus tahunan oleh syarikat kepada semua pekerja,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Mohd Izzat Afif menguruskan enam ladang di bawah MGOE dan CGOE iaitu Ladang Mawar, Ladang Chendana, Ladang Cherul, Ladang Perkasa, Ladang Ibok dan Ladang Bukit Sah yang semuanya terletak di Kemaman.

Artikel Berkaitan:

Enam ladang seluas lebih 3,800 hektar itu mempunyai 230 pekerja terdiri daripada 156 pekerja asing manakala selebihnya pekerja tempatan dengan rata-rata mereka memperoleh pendapatan sekitar RM3,000 sebulan bergantung kepada kerajinan masing-masing.

Menurut beliau, dia mengetahui tentang video tular mengenai gaji pekerja asing di bawah seliaannya itu pada Ahad selepas dihubungi rakan-rakan.

“Bekerja di ladang sawit memang tidak popular seperti pekerjaan lain tapi gaji dan kebajikan pekerja memang dijaga dengan baik. Contohnya majikan ada sediakan rumah untuk pekerja, subsidi bil air sebanyak RM10 dan subsidi bil elektrik RM6 bagi setiap pekerja.

“Gaji juga berdasarkan gaji minimum RM1,200 ditetapkan MAPA dan NUPW dengan tambahan bayaran kerja kontrak mengikut unit, semakin banyak unit yang kita dapat lagi besar gaji dibayar.

“Bagaimanapun setakat ini, belum ada mereka yang hubungi kita untuk bekerja di ladang selepas video pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan Md Shamim tular dalam media sosial,” katanya.

Pada Ahad, seorang lelaki warga Bangladesh tular di media sosial setelah video mengenainya yang memperoleh gaji sehingga RM5,000 sebulan sedangkan baru lima tahun bekerja di Malaysia mendapat perhatian orang ramai.

Video berdurasi satu minit 14 saat itu dimuat naik oleh seorang lelaki di akaun TikTok, yang memaparkan seseorang bertanyakan jumlah gaji yang diperoleh warga Bangladesh berkenaan.

Lelaki Bangladesh itu yang dilihat menaiki traktor memaklumkan, gaji yang diperoleh pada bulan lepas berjumlah RM5,400.