28,506 tan sampah sisa banjir dikutip

Zamani (tengah) mewakili MBSA menerima sumbangan disampaikan Mohamed Salim.
Zamani (tengah) mewakili MBSA menerima sumbangan disampaikan Mohamed Salim.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 28,506 tan sampah yang terdiri daripada sisa banjir termasuk barangan kelengkapan rumah yang rosak akibat bencana itu dikutip sehingga Ahad.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor memaklumkan, kutipan sisa banjir itu membabitkan 22 lokasi di dua daerah iaitu di daerah Petaling dan Klang.

Menurutnya, kerja-kerja pengutipan sisa banjir yang dilaksanakan dengan pihak KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) itu juga sudah hampir selesai sepenuhnya.

"Cuma tinggal di kawasan (Taman) Sri Muda (Seksyen 25), kawasan ini agak besar serta yang paling besar dan sekarang ini sudah 60 peratus kerja kutipan sisa banjir selesai (di Taman Sri Muda).

"Kita cuba selesaikan kerja dalam minggu ini namun kita mohon penduduk dan pihak di kawasan perindustrian agar membuang sisa banjir di stesen pemindahan (transit) yang disediakan.

"Jangan buang sisa banjir di tepi jalan raya atau kawasan perumahan lagi kerana kawasan berkenaan sudah dibersihkan dan jika berlaku kita terpaksa buat kerja berulang," katanya.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan barangan keperluan daripada kerajaan Emiriah Arab Bersatu Emirates Arab Bersatu (UAE) menerusi Bulan Sabit Merah Emiriah pada Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir di sini pada Selasa.

Zamani mewakili MBSA menerima sumbangan disampaikan wakil Bulan Sabit Merah Emiriah, Mohamed Salim Aljunaibi dan wakil Kedutaan UAE, Amani AlHashmi.

Artikel Berkaitan:

Majlis yang diadakan di Menara Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu turut dihadiri Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor, Engku Setia Lela Bestari Raja, Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj.

Turut sama, wakil 'Youth Community', Tengku Seri Perkasa Diraja Tengku Masuhiddin Shah.

Dalam pada itu, banyak tapak transit telah diwujudkan di kawasan yang terjejas dengan banjir bagi melancarkan proses pembersihan agar menjadi lebih cepat dan teratur.

Tapak transit ialah kawasan pengumpulan sementara sampah-sampah dari taman-taman perumahan yang dibuang akibat banjir sebelum lori lebih besar mengalihnya ke tapak pelupusan sampah sebenar.

Mengenai majlis sumbangan barang keperluan itu pula, Zamani berkata, pihak MBSA menerima 9,600 set barangan sumbangan berupa barangan kering dan kit pembersihan.

"Antara barangan makanan kering disumbangkan adalah beras, minyak masak, tepung gandum, gula, garam, susu tepung, biskut dan kit pembersihan untuk kegunaan mangsa banjir.

"Sumbangan barangan daripada Bulan Sabit Merah Emiriah ini akan diedarkan kepada mangsa banjir di Shah Alam khususnya di Taman Sri Muda yang telah terjejas teruk akibat banjir," katanya.

Tambahnya, pihak MBSA amat menghargai sumbangan kerajaan UAE melalui Bulan Sabit Merah Emiriah dan diharapkan dapat meringankan beban mangsa banjir di Shah Alam.